Ketibaan pelancong asing ke Indonesia cecah 1.2 juta setakat Julai


Pulau percutian terkenal Bali, menerima kedatangan pelancong seramai 246,504 pada Julai, mencatat rekod baharu sejak pandemik Covid-19 melanda. – Gambar EPA, 7 September, 2022.

KETIBAAN pelancong asing ke Indonesia untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini mencecah 1.2 juta, dipacu oleh pelaksanaan skim visa semasa ketibaan (VOA).

Ketibaan pelancong pada Julai meningkat kepada 476,970 daripada 345,438 pada Jun, terutamanya membabitkan pelancong dari Australia, Singapura, Malaysia, India dan Amerika Syarikat, menurut Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.

Pulau percutian terkenal Bali, menerima kedatangan pelancong seramai 246,504 pada Julai, mencatat rekod baharu sejak pandemik Covid-19 melanda, menyaksikan kunjungan hampir 9,000 pelancong setiap hari, menurut kementerian itu.

Pada masa ini, rakyat dari 75 negara layak mendapat VOA termasuk pelawat dari Maldives, Monaco, dan Colombia, kata menterinya Sandiaga Salahuddin Uno dalam satu kenyataan.

Indonesia, negara kepulauan terbesar terdiri daripada lebih 17,000 pulau, menyasarkan untuk menarik 3.6 juta ketibaan pelancong asing tahun ini. – Bernama, 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen