Bijirin Ukraine masuk EU, bukannya negara membangun, dakwa Putin


Presiden Rusia Vladimir Putin mendakwa Eropah menipu negara membangun susulan bijiran Ukraine yang sepatutnya dihantar ke negara membangun masuk ke Kesatuan Eropah. – Gambar EPA, 7 September, 2022.

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin berkata pada Rabu kebanyakan bijirin dari pelabuhan Ukraine selepas sekatan yang mencetuskan krisis makanan global sampai ke Kesatuan Eropah (EU), bukannya negara membangun.

“Hampir semua bijirin yang dieksport dari Ukraine dihantar bukan ke negara membangun termiskin, tetapi ke negara EU,” kata Putin kepada Forum Ekonomi Timur di bandar pelabuhan Pasifik Rusia, Vladivostok.

Ukraine, salah satu pengeksport bijirin terbesar dunia, terpaksa menghentikan hampir semua penghantaran selepas Rusia memulakan operasi ketenteraan pada akhir Februari.

Eksport bijirin merentasi pelabuhan Laut Hitam disambung semula selepas Kyiv dan Moscow pada Julai menandatangani perjanjian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan Turki bertindak sebagai penjamin.

“Kami buat bermacam-macam untuk pastikan bijirin Ukraine dieksport… kami buat bersama dengan Turki,” kata Putin di forum itu.

Putin berkata negara-negara Eropah “bertindak sebagai penjajah dalam beberapa dekad dan abad kebelakangan ini” dan “mereka terus bertindak demikian hari ini”.

Beliau berkata mereka “sekali lagi menipu negara membangun”.

“Dengan pendekatan ini, skala masalah makanan di dunia hanya akan berkembang,” kata Putin, sambil menambah bahawa ia boleh membawa kepada “malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini”. – AFP, 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen