Kenapa ketua polis negara senyap kes anak saya, tanya Indira Gandhi


Ravin Palanisamy

M. Indira Gandhi berkata sehingga hari ini beliau belum dihubungi atau menerima perkembangan terkini oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berhubung kehilangan anaknya yang dilarikan bekas suaminya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

KETUA Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani tidak sepatutnya berdiam diri berhubung kes Prasana Diksa, gadis yang dilarikan bekas suaminya ketika berusia 11 bulan, kata ibu gadis itu M. Indira Gandhi.

Indira berkata tiada maklumat terkini mengenai kes itu daripada KPN terkini.

“Saya pernah berjumpa lima KPN sebelum ini tetapi yang sekarang ini sangat senyap (mengenai kes ini). Saya tidak tahu kenapa,” kata bekas guru tadika itu pada sidang media maya hari ini.

“Tiada berita daripadanya. Saya rasa beliau pun sudah muak dengan kes itu.

“Tetapi adalah sangat salah baginya (untuk tidak menangani isu ini), kerana ia kes kepentingan awam.”

Beliau berkata KPN sebelum ini memberi maklumat terkini mengenai kes itu walaupun gagal memberkas bekas suaminya, K. Padmanathan, yang memeluk Islam dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan Abdullah.

Awal tahun ini, Indira memberitahu The Malaysian Insight walaupun enam KPN telah mengambil alih kes itu, anak perempuannya masih belum ditemui.

Beliau meluahkan kekecewaan terhadap Acryl Sani kerana tidak menghubunginya atau pengerusi Pasukan Tindakan Indira Ghani (Ingat) Arun Dorasamy untuk bercakap mengenai kes itu, yang kini telah berlarutan selama 13 tahun.

Prasana telah diambil oleh Riduan sebelum dia memeluk Islam pada 2009.

Dia juga telah mengislamkan tiga anak mereka tanpa pengetahuan Indira.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama unilateral anak Indira - Prasana dan dua adik beradik yang lebih tua.

Mahkamah tertinggi mengekalkan pembatalan penukaran agama oleh hanya seorang daripada ibu bapa dan mengesahkan hak penjagaan kepada ibu.

Indira kini menunggu Riduan ditemui dan Prasana dikembalikan kepadanya seperti yang diarahkan oleh mahkamah.

Riduan sedang diburu kerana melanggar perintah Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 untuk mengembalikan Prasana, yang membawa kepada writ mandamus oleh mahkamah yang memaksa KPN menangkapnya.

Sementara itu, Arun berkata polis telah gagal dalam tugas mereka melindungi orang ramai dengan mengabaikan perintah mahkamah untuk menangkap Riduan.

Pada 2020, Indira telah memfailkan saman terhadap polis yang tidak bertindak melaksanakan waran tangkap ke atas Riduan. Beliau memohon ganti rugi dan deklarasi ketua polis negara melakukan tort nonfeasance di pejabat awam.

Selain KPN, pihak lain yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.

Hari ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan permohonan Putrajaya untuk membatalkan saman bekas guru tadika itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Hanipah Farikullah, M. Gunalan dan Ahmad Zaidi Ibrahim berpendapat saman yang difailkan oleh Indira harus diselesaikan melalui perbicaraan penuh.

Hakim turut memerintahkan kerajaan membayar kos kepada Indira sebanyak RM10,000.

Hanipah berkata ada “isu undang-undang yang rumit” perlu dijelaskan pada perbicaraan, selepas beliau memerintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan pengurusan kes pada 14 September. – 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen