12 maut, 11 cedera pusat karaoke terbakar di Vietnam


Kebakaran melanda tingkat dua dan tiga pusat karaoke di utara hab komersial Ho Chi Minh City, Vietnam pada malam Selasa, meragut 12 nyawa dan mencederakan 11 orang, menurut pegawai kerajaan. – Gambar Facebook, 7 September, 2022.

KEBAKARAN di sebuah pusat karaoke di selatan Vietnam telah mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan 11 orang, kata pegawai tempatan hari ini.

Kebakaran melanda tingkat dua dan tiga bangunan itu pada malam Selasa, memerangkap pelanggan dan kakitangan ketika asap tebal memenuhi tangga dan menghalang pintu keluar kecemasan, lapor media kerajaan.

Ramai yang bersesak-sesak ke balkoni untuk melarikan diri daripada api, yang merebak dengan pantas, dengan ada mangsa yang terpaksa melompat dari bangunan itu, tambah laporan.

Gambar menunjukkan kepulan asap berkepul keluar dari pusat karaoke yang terletak di kawasan perumahan sesak di bandar Thuan An, utara hab komersial Ho Chi Minh City, ketika anggota bomba menaiki kren cuba memadamkan kebakaran.

Seorang pegawai tempatan mengesahkan kepada AFP 12 orang maut dan 11 cedera dalam kebakaran itu.

“Pasukan penyelamat masih mencari mangsa di tempat kejadian. Punca kebakaran belum dapat ditentukan dan sedang disiasat,” kata Nguyen Thanh Tam, pegawai tertinggi parti komunis di Thuan An kepada AFP.

Saksi Nguyen Sang, yang tinggal berhampiran pusat karaoke itu, memberitahu laman berita VnExpress apabila trak bomba tiba di tempat kejadian, seorang penyambut tetamu berkata terdapat 40 orang terperangkap di dalam.

“Ramai orang berlari keluar melalui pintu masuk utama, tetapi ramai lagi yang tidak tahan panas dan mereka melompat ke bawah, patah tangan dan kaki,” kata Sang.

Pekerja penyelamat sepanjang malam mencari mangsa yang terperangkap di pusat karoke dengan 30 bilik itu, menurut media kerajaan.

Polis tempatan berkata peraturan pencegahan kebakaran kemudahan karaoke itu telah diperiksa sebelum kebakaran, tambahnya.

Kebakaran itu adalah yang paling dahsyat di Vietnam sejak 2018, apabila 13 orang maut dalam kebakaran di kompleks pangsapuri di Ho Chi Minh City.

Pada 2016, kebakaran di sebuah pusat karaoke di ibu negara Hanoi menyebabkan 13 orang maut, mendorong penilaian seluruh negara mengenai langkah pencegahan kebakaran di bar dan kelab.

Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh pada Rabu mengarahkan pemeriksaan lanjut ke atas tempat berisiko tinggi, terutamanya pusat karaoke.

Bulan lepas, tiga anggota bomba maut selepas cuba memadamkan kebakaran di sebuah lagi pusat karaoke di Hanoi. – AFP, 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen