PRESIDEN Timor Timur Jose Ramos-Horta pada Rabu berkata China boleh membantu membiayai projek bahan api fosil yang penting untuk masa depan ekonomi negara, menolak kebimbangan Barat terhadap pengaruh Beijing yang semakin meningkat.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Canberra, presiden dan pemenang hadiah Nobel keamanan itu berkata “sudah tentu China” boleh terlibat dalam projek Greater Sunrise, yang bertujuan untuk memanfaatkan bertrilion kaki padu gas asli.
Projek itu, yang terletak di perairan antara Timor Timur dan Australia, telah lama disebut-sebut sebagai usaha sama antara kedua-dua negara.
Tetapi penerokaan telah terhenti sejak bertahun-tahun kerana pertikaian mengenai sempadan maritim dan sama ada gas itu perlu ditapis di Australia atau Timor Timur.
Ramos Horta berusaha keras mendapatkan pembiayaan asing dan membina kemudahan LNG di negaranya, melihatnya sebagai pengubah permainan ekonomi.
Beliau memberitahu pemberita beberapa negara Asia-Pasifik boleh terlibat dalam projek itu – termasuk Jepun dan Korea Selatan – tetapi turut menyuarakan penglibatan Beijing, menyedari ia mungkin akan menyinggung Canberra.
“Sudah tentu China (boleh terlibat). Ia saluran paip, kita tidak bercakap tentang keselamatan maritim. Ia hanya saluran paip. China hanya akan jadi pelabur,” katanya.
Tetapi penggubal dasar di Canberra berkemungkinan menghalang penglibatan China dalam infrastruktur kritikal yang begitu dekat dengan sempadan Australia.
Australia kini bimbang dengan pengaruh China yang berkembang pesat, termasuk di Timor Timur, yang mencapai kemerdekaan pada 2002 dan terletak hanya beberapa ratus kilometer dari pantai utara Australia.
China telah membina parlimen negara itu, istana presiden Ramos-Horta dan kementerian luar negeri.
Hasil daripada projek bahan api fosil sedia ada dijangka kering tidak lama lagi, dan dana kekayaan negara semakin berkurangan, menyebabkan sesetengah pihak memberi amaran tentang “jurang fiskal” yang akan berlaku.
Diplomat tertinggi Australia, Penny Wong, baru-baru ini memberi amaran kepada Dili ia akan berhadapan beberapa “cabaran ekonomi yang agak serius” selain memberi amaran risiko “perangkap hutang”, istilah yang digunakan secara meluas merujuk kepada strategi pelaburan China di negara-negara seperti Sri Lanka.
“Hutang kami, pinjaman kami, mereka mahu Timor Timur menjadi lebih berdaya tahan”, katanya ketika melawat ibu negara pulau itu.
“Kami tahu daya tahan ekonomi boleh terjejas, boleh dikekang, oleh beban hutang yang tidak mampan atau oleh pemberi pinjaman yang mempunyai objektif berbeza.” – AFP, 7 September, 2022.
Komen