Putrajaya gagal lagi batal saman Indira Gandhi


Ravin Palanisamy

Bekas guru tadika M Indira Ghandi menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan terhadap kerajaan atas kegagalan menangkap bekas suaminya dan memulangkan anaknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

PUTRAJAYA sekali lagi gagal membatalkan permohonan saman nonfeasance dikemukakan bekas guru tadika M. Indira Gandhi terhadap PDRM susulan pasukan itu gagal menahan juga bekas suaminya yang juga seorang mualaf, dan mengembalikan anak perempuannya yang dilarikan 13 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan Hanipah Farikullah yang mempengerusikan panel tiga hakim, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk meneruskan perbicaraan penuh.

Hakim turut memerintahkan kerajaan membayar kos kepada Indira sebanyak RM10,000.

Hanipah berkata ada “isu undang-undang yang rumit” perlu dijelaskan pada perbicaraan, selepas beliau memerintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan pengurusan kes pada 14 September.

Indira memfailkan saman itu pada 2020 susulan polis tidak bertindak atas waran tangkap terhadap Muhammad Riduan Abdullah.

Indira memohon ganti rugi dan deklarasi ketua polis negara melakukan tort nonfeasance di pejabat awam.

Ini adalah kali pertama kes tort nonfeasance – kegagalan melakukan perintah mahkamah – akan didengar di Malaysia.

Kerajaan membuat permohonan membatalkan tuntutan Indira atas alasan ia remeh dan menyusahkan, berkata ia adalah salah guna proses mahkamah.

Dalam saman difailkan 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa yang kini berusia 13 tahun.

Beliau mendakwa semua defendan berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu seperti diarah Mahkamah Persekutuan pada 29 April, 2016.

Beliau menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi KPN melakukan tort nonfeasance di pejabat awam. – 7 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen