New York pulangkan AS$19 juta hasil seni dicuri kepada Itali


Puluhan barang antik yang dicuri dari Itali bernilai kira-kira AS$19 juta, sebahagian daripadanya ditemui di Muzium Seni Metropolitan, New York. – Gambar Facebook, 7 September, 2022.

PENDAKWA RAYA di New York pada Selasa memulangkan puluhan barang antik yang dicuri dari Itali dan bernilai kira-kira AS$19 juta, yang sebahagian daripadanya ditemui di Muzium Seni Metropolitan.

“Sebanyak 58 hasil seni ini mewakili ribuan tahun sejarah yang kaya, namun penyeludup di seluruh Itali menggunakan perompak untuk mencuri barang-barang ini dan mengisi poket mereka sendiri,” kata Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg, sambil menegaskan ia penghantaran pulang ketiga dalam tempoh sembilan bulan.

“Sejak sekian lama, ia berada di muzium, rumah, dan galeri yang tidak mempunyai hak milik sah,” katanya pada majlis yang dihadiri diplomat Itali dan pegawai penguatkuasa undang-undang.

Barangan yang dicuri itu dijual kepada Michael Steinhardt, seorang pengumpul seni purba terkemuka dunia, kata pejabat DA, sambil menambah ia dikenakan larangan seumur hidup membeli barangan antik.

Di antara harta karun yang ditemui, dalam beberapa kes dijual kepada “pengumpul dan muzium tanpa disedari,” adalah kepala marmar dewi Yunani Athena dari 200 B.C.E. dan cawan minuman dari 470 B.C.E, kata para pegawai.

Ia itu dicuri atas arahan empat lelaki yang “semuanya mengetuai perusahaan jenayah yang menggunakan perompak tempatan untuk menyerang tapak arkeologi di seluruh Itali, yang kebanyakannya tidak dikawal secukupnya,” menurut pejabat DA.

Seorang daripada mereka, Pasquale Camera, adalah “ketua jenayah serantau yang mengarahkan rompakan dari muzium dan gereja seawal tahun 1960-an. Beliau kemudian mula membeli artifak dicuri daripada perompak tempatan dan menjualnya kepada peniaga barang antik,” tambahnya.

Ia berkata tahun ini sahaja, pejabat DA memulangkan hampir 300 barang antik bernilai lebih AS$66 juta kepada 12 negara. – AFP, 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen