JUSTIN Bieber sekali lagi mengumumkan bercuti daripada melakukan konsert jelajahnya, beberapa bulan selepas mendedahkan beliau sedang mengalami sindrom yang menyebabkan lumpuh di sebahagian wajahnya.
Pada Jun, penghibur terkenal berusia 28 tahun itu menangguhkan jelajah “Justice” di Amerika Utara berikutan mengalami sindrom Ramsay Hunt.
Bieber baru-baru ini kembali meneruskan siri jelajah itu, mengadakan enam persembahan secara langsung di Eropah dan festival Rock in Rio di Brazil pada hujung minggu lalu.
Tetapi semalam beliau berkata mungkin sekarang bukan masa terbaik untuk kembali ke pentas.
“Minggu lalu saya mengadakan persembahan di Rock in Rio dan melakukan sehabis baik untuk peminat di Brazil. Selepas tamat persembahan, saya terlalu penat dan sedar yang saya perlu beri keutamaan kepada kesihatan diri pada masa ini.
“Jadi saya akan berehat daripada siri jelajah buat sementara waktu ini,” katanya.
Sindrom Ramsay Hunt adalah penyakit neurologi yang jarang ditemui dan boleh menyebabkan saraf wajah lumpuh, dan ruam menyakitkan di bahagian telinga atau mulut. Ia juga boleh menyebabkan masalah hilang pendengaran.
Bieber dijadualkan mengadakan berpuluh-puluh persembahan di seluruh dunia sepanjang Mac 2023. – AFP, 7 September, 2022.
Komen