Brazil saman Apple AS$2.4 juta, larang jual iPhone tanpa pengecas


Brazil larang Apple menjual iPhones tanpa pengecas dan didenda lebih AS$2 juta berhubung isu itu. – Gambar EPA, 7 September, 2022.

APPLE dilarang menjual iPhones tanpa pengecas di Brazil dan didenda lebih AS$2 juta berhubung isu itu, kata kerajaan, selepas mendakwa syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat itu melakukan amalan diskriminasi.

Dalam satu notis rasmi, pihak berkuasa Brazil mengarahkan penangguhan serta-merta pengedaran telefon pintar jenama iPhone, tanpa mengira model dan generasi pengeluarannya, yang tidak disertakan dengan pengecas bateri.

Kementerian Keadilan dan Keselamatan Awam mengarahkan syarikat California itu membayar denda AS$2.4 juta.

Langkah itu diambil susulan larangan dikeluarkan Jabatan Perlindungan dan Pertahanan Pengguna terhadap jualan iPhone 12 dan 13.

Apple disiasat di Brazil sejak Disember kerana menjual produk yang tidak lengkap, diskriminasi terhadap pengguna dan penyerahan tanggungjawab kepada pihak ketiga, apabila menawarkan iPhone 12 versi baharu tanpa pengecas, menurut kenyataan rasmi.

Syarikat itu sebelum ini pernah dikenakan denda daripada agensi Brazil, tetapi tiada tindakan diambil dan penjualan telefon bimbit tanpa pengecas masih berterusan.

Menurut pihak berkuasa Brazil, Apple mendakwa keputusan untuk tidak memasukkan pengecas dalam jualan iPhone berdasarkan kepada komitmennya terhadap alam sekitar. – AFP, 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen