2 mati, ribuan lagi diarah keluar dari California


Beberapa bangunan musnah apabila kebakaran Fairview meletus di tenggara Los Angeles, marak dengan pantas ke kawasan seluas 2,400 ekar dalam tempoh kurang 24 jam. – Gambar EPA, 7 September, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA dua mati dan ribuan yang lain diarahkan keluar menyelamatkan diri daripada api yang semakin marak di California, ketika wilayah itu terus berdepan dengan gelombang panas.

Beberapa bangunan musnah apabila kebakaran Fairview meletus di tenggara Los Angeles, marak dengan pantas ke kawasan seluas 2,400 ekar dalam tempoh kurang 24 jam.

Pasukan bomba berkata dua mangsa maut dalam kebakaran itu, dan seorang lagi dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan dan lecur.

Lebih 3,000 rumah diarahkan berpindah dan semua sekolah tempatan ditutup.

Api marak terlalu cepat, malah pasukan bomba tidak sempat tiba di tempat kejadian, kata jurucakap jabatan bomba.

Punca kebakaran masih disiasat tetapi Southern California Edison (SCE) melaporkan ia membabitkan “aktiviti litar pintas” di kawasan berkenaan ketika kebakaran berlaku.

California mengalami gelombang panas melampau dengan suhu mencecah 43 darjah selsius direkodkan di beberapa kawasan.

Keadaan itu ditambah dengan kemarau dua dekad menyebabkan kawasan itu kering, menyebabkan kebakaran hutan lebih mudah berlaku.

Cuaca panas melanda negeri itu selain Arizona dan Nevada minggu lalu, dan ia masih belum berakhir. – AFP, 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen