Kerajaan kata tiada keperluan perkenal semula GST


Kata Mohd Shahar kerajaan yakin ekonomi negara akan mencatat unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun ini. – Gambar EPA, 6 September, 2022.

MASIH tiada keperluan untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) kata Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah.

Menurutnya hal ini disebabkan oleh momentum pemulihan ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama tahun ini dan disokong oleh peningkatan permintaan dari dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

“Kerajaan yakin ekonomi negara akan mencatat unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun 2022,” katanya.

Mohd Shahar berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST semasa sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak di Sibu hari ini.

Sesi libat urus itu diadakan sebagai salah satu usaha kementeriannya bagi mendapatkan input dan maklum balas daripada komuniti perniagaan untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2023.

Beliau berkata,bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara, fokus kerajaan dalam bajet akan datang adalah kepada inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat terutamanya melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan, serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan pada masa depan.

Beliau berkata paras inflasi negara bagi enam bulan pertama 2022 ialah pada kadar 2.5 peratus jauh lebih rendah daripada kadar inflasi di negara lain dan kekal terkawal berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan.

Katanya lagi langkah kerajaan meneruskan dan menambah baik subsidi menyebabkan perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding RM31 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2022.

“Tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas dianggarkan inflasi akan melonjak kepada 11.4 peratus,” katanya. – Bernama, 6 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen