PAS susah pikat pengundi bukan Islam, kata pemerhati


Ravin Palanisamy

Pendirian PAS yang bermusuhan dengan minoriti akan menyusahkan parti Islam itu menarik pengundi bukan Islam pada PRU15, kata pemerhati politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

PENDIRIAN PAS yang bermusuhan dengan minoriti akan menyusahkan parti Islam itu menarik pengundi bukan Islam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pemerhati politik.

Mereka berkata tindakan PAS selama ini mengenai isu berkait bukan Islam akan menjadi batu penghalang dalam usahanya menarik undi bukan Melayu.

Baru-baru ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata kebanyakan pelaku rasuah adalah bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Anggota partinya juga sentiasa membangkitkan kebimbangan bukan Melayu yang antara lain menggesa haramkan konsert artis luar, kuil, pengambilan arak dan perjudian.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata jenama politik PAS mungkin tidak menarik minat bukan Islam.

“Ia telah menjadi eksklusif (untuk umat Islam).

“Tambahan pula, PAS menyalahkan semua masalah negara kepada orang bukan Islam. Jadi, saya tidak nampak bagaimana orang bukan Islam boleh sokong konservatisme seperti PAS ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Alor Setar baru-baru ini, Abdul Hadi berkata PAS perlu berperanan menembusi benteng yang memisahkan parti itu dengan yang bukan Islam secara berhikmah.

Beliau berkata, PAS perlu mendekati serta bekerjasama bukan hanya dengan parti Melayu-Islam tetapi juga melangkaui parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS juga perlu mendekati pengundi bukan Islam terutama yang tidak berparti untuk memilih calon Islam.

Pakar politik Asia dari Universiti Tasmania, James Chin menggelar Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai seorang yang lidah bercabang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

James Chin, pakar politik Asia dari Universiti Tasmania berkata ucapan awam Abdul Hadi tidak boleh dipercayai.

Katanya Hadi seorang yang “lidah bercabang”.

“Beliau bercakap dengan ‘lidah bercabang’, dengan kata lain, beliau bercakap perkara yang berbeza kepada penonton yang berbeza.

“PAS hanya pentingkan Ummah (masyarakat Islam) manakala orang bukan Islam tidak boleh menikmati hak berpolitik.

“Jadi saya tidak akan anggap ianya serius selain fakta yang beliau sangat percaya kepada ketuanan Melayu dan Islam,” kata Chin.

Pemerhati politik Melayu Prof Awang Azman Awang Pawi juga berpendapat PAS akan berhadapan tugas yang berat untuk menarik pengundi bukan Islam.

“Sukar untuk PAS tarik orang bukan Islam pada PRU15 kerana banyak PAS cakap tentang mereka.

“Ini (kenyataan) akan menjauhkan mereka daripada PAS,” kata profesor Universiti Malaya itu.

Sementara itu, Pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata walaupun Presiden PAS optimis membuat gesaan yang begitu menjanjikan semasa muktamar, namun ia hanya sia-sia.

Selain memetik statistik PRU14 undi PAS daripada bukan Islam, Hisommudin juga berkata kenyataan Abdul Hadi baru-baru ini hanya menyimbahkan minyak pada api.

“Asas sokongan pengundi bukan Islam terhadap parti itu sangat rendah jika dinilai dengan pencapaian PAS pada PRU14.

“PAS hanya mampu dapat sokongan kira-kira lima peratus atau lebih undi bukan Islam.

“Sementara itu, kenyataan prejudis Abdul Hadi terhadap bukan Islam tidak akan baik dalam tempoh yang singkat.

“Beliau tidak pun mengambil kesempatan untuk menjernihkan keadaan walaupun di hadapan DHPP,” katanya.

Abdul Hadi baru-baru ini mendakwa sebahagian besar pelaku rasuah terdiri daripada masyarakat bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Ucapannya itu telah menyebabkan beberapa kumpulan membuat laporan polis terhadapnya.

Polis telah merekodkan kenyataan Abdul Hadi namun baru-baru ini beliau menyatakan akan jelaskan kenyataan kontroversinya di mahkamah.

Antara isu lain oleh parti Islam itu termasuk isu roboh kuil di Kedah, pembatalan cuti Thaipusam oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada 2021 dan gesaan pemuda PAS untuk membatalkan konsert antarabangsa baru-baru ini.

Rata-rata pemerhati politik beranggapan sukar untuk PAS menarik hati pengundi bukan Islam berikutan tindakan dan kenyataan kontroversi parti itu selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

Bolehkah PAS pertahan Kelantan, Terengganu dan Kedah?

Tunku Mohar merasakan walaupun PAS kelihatan tidak dapat dikalahkan di Kelantan, ia tidak sama bagi mereka di Kedah dan Terengganu.

“PAS kuat di Kelantan, dan sukar untuk parti lain menang di sana.

“Bagaimanapun, politik di Kedah dan Terengganu agak tidak menentu,” katanya.

Dengan kemunculan parti Melayu lain, yang membawa kepada kemungkinan berlakunya perpecahan undi, Tunku Mohar percaya sukar bagi PAS untuk mempertahankan negeri-negeri tersebut.

“Dengan perpecahan undi Melayu di kalangan parti Melayu, masih terlalu awal untuk ramal sama ada PAS boleh menang di Kedah dan Terengganu,” katanya lagi.

Awang Azman turut menyuarakan pandangan Tunku Mohar dengan mengatakan PAS boleh hilang Kedah atau Terengganu pada PRU15.

Beliau berkata imej PAS di negeri yang mereka kuasai kurang menyerlah dan pemimpin mereka juga tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan.

“Isu air, alam sekitar, isu arak, judi, konsert dan sebagainya gagal ditangani dan ia tidak berbeza dengan sebelum ini,” kata Awang Azman.

Hisommudin pula melihat situasi itu secara berbeza.

Beliau berkata sokongan terhadap PAS meningkat dua kali ganda selepas parti Islam itu bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Bersatu pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Menggunakan pilihan raya negeri Melaka dan Johor sebagai rujukan, Hisommudin berpandangan sokongan terhadap PAS semakin meningkat.

“Kesan penyertaan PAS dalam PN menunjukkan undi mereka meningkat dua kali ganda berbanding apa yang mereka dapat pada PRU lalu.

“Purata peratusan undi yang diperoleh PAS pada PRU14 ialah 18 peratus. Namun apabila bertanding atas tiket PN di Melaka dan Johor, undi PAS meningkat kepada 36 peratus.

“Mengambil kira sokongan terutama di pantai barat, di mana PAS tidak kuat, parti itu masih berjaya menambah undi mereka.

“Jadi di negeri yang dikuasai PAS, sudah tentu ia (Perikatan) akan memberi kelebihan kepada parti itu untuk kekal di tiga negeri itu,” katanya.

Walaupun terdapat isu daripada kerajaan negeri pimpinan PAS berhubung pengurusan dan pentadbiran yang tidak cekap, Hisommudin merasakan Umno dan Pakatan Harapan gagal bertindak sebagai pembangkang yang kuat.

“Memandangkan keadaan itu, masih belum jelas sama ada PAS boleh dikalahkan di tiga negeri ini,” katanya lagi. – 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen