Setiausaha dalam negeri Britain letak jawatan selepas Truss dilantik PM UK


Setiausaha Dalam Negeri Britain Priti Patel mahu teruskan khidmatnya dalam sektor awam dan kawasan pilihan raya Withamnya sebaik sahaja Liz Truss secara rasmi memegang jawatan perdana menteri dan setiausaha dalam negeri baharu dilantik. – Gambar EPA, 6 September, 2022.

SETIAUSAHA Dalam Negeri Britain Priti Patel pada Isnin meletak jawatan beberapa jam selepas Setiausaha Luar Liz Truss dipilih sebagai pemimpin baharu Parti Konservatif, lapor Agensi Anadolu.

Truss akan bertemu Ratu Elizabeth II pada Selasa, dan dilantik sebagai perdana menteri baharu secara rasmi serta mengumumkan anggota Kabinet baharunya.

Media tempatan melaporkan bahawa Truss berkemungkinan akan melantik Peguam Negara Suella Braverman sebagai setiausaha dalam negeri yang baharu.

Dalam surat peletakan jawatannya yang ditujukan kepada bekas Perdana Menteri Boris Johnson, Patel menulis: “Sudah menjadi penghormatan dalam hidup saya untuk berkhidmat kepada negara sebagai setiausaha dalam negeri selama tempoh tiga tahun dan menunaikan komitmen menyokong dan membentuk pasukan polis, bersama-sama bekerja keras bersama penegak undang-undang, memperbaharui sistem imigresen dan suaka, serta memerangi keganasan.

“Sokongan anda sepanjang tempoh ini telah memberi pembaharuan dan pelaburan yang tiada tandingannya.”

Sepanjang memegang jawatan sebagai setiausaha dalam negeri, Patel berdepan isu pendatang asing tanpa izin menggunakan bot-bot kecil yang melintasi Selat Inggeris.

Patel meneruskan: “Adalah penting bahawa pengganti anda menyokong semua aspek mengenai kemasukan secara haram demi memastikan pelaksanaan penuh Pelan Baharu untuk Akta Imigresen dan Kewarganegaraan dan Kawalan Sempadan.

“Seperti yang kita tahu, tiada penyelesaian tunggal untuk perkara ini dan kerajaan mesti menangani isu ini untuk menghentikan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke UK.”

Mengenai pengganti Johnson, Patel menulis: “Saya mengucapkan tahniah kepada Liz Truss kerana dipilih sebagai pemimpin baharu kami, dan saya akan memberikan sokongan sebagai perdana menteri baharu kami.”

Beliau berkata beliau memilih untuk meneruskan perkhidmatannya dalam sektor awam dan kawasan pilihan raya Withamnya, sebaik sahaja Truss secara rasmi memegang jawatan itu dan setiausaha dalam negeri dilantik. – Bernama, 6 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen