TAIWAN berkata sebuah dron peninjau tentera China telah menceroboh masuk zon pertahanan udaranya pada Isnin, terbaharu ketika hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu kekal tegang.
Dron tersebut, yang dikenal pasti oleh kementerian pertahanan Taipei sebagai jenis BZK-007, menyeberang ke sudut barat daya zon pengenalan pertahanan udara (ADIZ) pulau itu bersama lapan pesawat pejuang China.
ADIZ Taiwan jauh lebih besar daripada ruang udaranya dan bertindih dengan sebahagian daripada ADIZ China dan juga termasuk tanah besar.
China telah meningkatkan secara mendadak pencerobohan ke ADIZ barat daya Taiwan sejak dua tahun lalu, tetapi penggunaan dron tentera jarang berlaku.
Kali terakhir tentera Taiwan melaporkannya ialah pada Oktober 2020, sebulan selepas ia mula membuat data tentang kekerapan pencerobohan Cina kepada umum.
Pencerobohan Isnin lalu berlaku selepas askar Taiwan di pulau kecil tidak jauh dari tanah besar China menembak jatuh dron komersial yang tidak dikenali minggu lalu.
Itulah kali pertama tentera Taiwan menjatuhkan dron, berikutan kemunculan mendadak dron kecil yang boleh didapati secara komersial sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Sebaliknya, BZK-007 merupakan dron tentera lebih besar, dibina oleh Perbadanan Industri Pesawat Guizhou dan boleh menjalankan penerbangan jarak jauh selain mempunyai peranti peninjau yang lebih canggih.
23 juta penduduk Taiwan hidup di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh China, yang mendakwa pulau demokrasi yang diperintah sendiri sebagai sebahagian daripada wilayahnya akan diambil satu hari nanti, secara paksa jika perlu. – AFP, 6 September, 2022.
Komen