MAHKAMAH Russia membatalkan lesen cetakan akhbar bebas terkemuka, Novaya Gazeta dan menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun ke atas bekas wartawan dihormati, Ivan Safronov kerana melakukan pengkhianatan. Ini adalah tindakan terbaru Moscow terhadap media dan wartawan.
Media bebas Russia dalam beberapa tahun kebelakangan ini berdepan tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan pihak berkuasa mengetatkan sekatan sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, Februari lalu.
Semua saluran media bebas utama ditutup atau menggantung operasi domestik di Russia selepas beberapa siri sekatan dikenakan ke atas liputan konflik Ukraine.
Mahkamah di Moscow “membatalkan sijil pendaftaran versi cetak Novaya Gazeta”, sekali gus menggantung penerbitannya pada akhir Mac, tulis syarikat itu di media sosial.
Ia kemudian berkata keputusan berkenaan “membunuh” akhbar itu.
“Akhbar itu dibunuh hari ini. Mereka mencuri 30 tahun nyawa pekerjanya. Pembaca dilucutkan hak untuk menerima maklumat,” kata Novaya Gazeta sambil menambah “semangat bebas"nya akan terus wujud.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB Ravina Shamdasani berkata keputusan itu adalah “satu lagi tamparan kepada kebebasan media Russia”.
Mahkamah dalam satu kenyataan mengesahkan keputusan yang mengikuti prosiding undang-undang yang dimulakan pemerhati media Russia Roskomnadzor.
Badan pengawal selia media juga sedang berusaha menutup laman web Novaya Gazeta dan majalah cetak yang dilancarkan pada Julai lalu.
Dua perbicaraan mahkamah dijadualkan pada akhir bulan ini. – AFP, 5 September, 2022.
Komen