2 kakitangan kedutaan Russia maut dalam serangan di Kabul


Pengebom dipercayai meletupkan diri berhampiran pintu masuk bahagian konsular kedutaan Russia. Ini adalah serangan pertama menyasarkan pegawai misi diplomatik asing sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos tahun lalu. – Gambar EPA, 5 September, 2022.

DUA kakitangan misi diplomatik maut manakala beberapa individu lain cedera selepas seorang pengebom bunuh diri melancarkan serangan berhampiran kedutaan Russia di Kabul, Afghanistan hari ini, kata kementerian luar di Moscow.

Pengebom dipercayai meletupkan diri berhampiran pintu masuk bahagian konsular kedutaan. Ini adalah serangan pertama menyasarkan pegawai misi diplomatik asing sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos tahun lalu.

“Akibat serangan itu, dua pekerja misi diplomatik terbunuh, dan terdapat juga warga Afghanistan antara yang cedera,” kata kementerian luar Russia.

Jurucakap kementerian dalam negeri Afghanistan Abdul Nafy Takor memberi laporan berbeza kepada AFP, mengatakan seorang penyerang bunuh diri itu ditembak mati pengawal Taliban di kedutaan Russia.

Seorang orang awam Afghanistan terbunuh dan beberapa lagi cedera, katanya.

Seperti serangan lain baru-baru ini, keselamatan Taliban yang ketat dengan segera menutup kawasan itu dan menghalang media daripada membuat penggambaran berdekatan.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas kedutaan itu.

“Tanpa sebarang keraguan, kami bercakap mengenai tindakan pengganas, yang sama sekali tidak boleh diterima,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada wartawan di Moscow.

Keganasan di Afghanistan sebahagian besarnya berkurangan sejak Taliban kembali berkuasa, tetapi beberapa siri letupan bom – menyasarkan masyarakat minoriti – menggegarkan negara itu sejak kebelakangan ini. Kebanyakan mendakwa serangan didalangi kumpulan militan Isis.

Minggu lalu, seorang pengebom bunuh diri menyerang salah sebuah masjid terbesar di barat Afghanistan, mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk seorang imam berpengaruh. – AFP, 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen