7 maut akibat gempa bumi kuat di barat daya China, lapor media


Gempa bumi yang menggegarkan bandar raya Chengdu di barat daya China menjejaskan berjuta-juta penduduk yang dikenakan sekatan pergerakan di rumah akibat penularan Covid-19. – Gambar EPA, 5 September, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA tujuh terkorban susulan gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda barat daya China, lapor media kerajaan, hari ini.

Tinjauan awal menunjukkan bangunan kediaman di wilayah Sichuan mengalami “kerosakan teruk akibat tanah runtuh” manakala talian telekomunikasi terputus di beberapa kawasan, menurut penyiar tempatan CCTV.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa melanda sekitar 43 kilometer (26 batu) tenggara bandar Kangding di wilayah Sichuan pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 1 petang tadi (waktu China).

Media kerajaan melaporkan talian telekomunikasi di Moxi, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 7,000 penduduk berhampiran pusat gempa, terputus selepas gegaran itu.

Penduduk ibu kota Chengdu dan bandar besar berhampiran Chongqing memberitahu AFP gempa di sana menggegarkan bangunan dan menyebabkan perabot beralih.

Lebih 500 anggota penyelamat dikerahan ke pusat gempa, menurut penyiar tempatan CGTN.

Media kerajaan melaporkan beberapa gempa susulan berlaku di kawasan berhampiran.

Gempa bumi adalah perkara biasa di Sichuan, di mana gempa berukuran 8.0 pada skala Richter melanda daerah Wenchuan pada 2008 menyebabkan puluhan ribu maut dan mengakibatkan kerosakan besar. – AFP, 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen