GEMPA bumi berukuran 6.6 magnitud menggegarkan bandar raya Chengdu, barat daya China, demikian menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gegaran menjejaskan berjuta-juta penduduk yang dikenakan sekatan pergerakan di rumah akibat penularan Covid-19.
Menurut USGS, gempa melanda sekitar 43 kilometer tenggara bandar Kangding di wilayah Sichuan pada kedalaman 10 kilometer.
Bagaimanapun, tiada laporan berkaitan kehilangan jiwa dikeluarkan setakat ini.
Gegaran dirasai di ibu kota wilayah berhampiran Chengdu dan bandar besar Chongqing, penduduk memberitahu AFP.
“Saya merasakannya dengan sangat kuat,” kata Chen, seorang penduduk Chengdu. Bandar itu mempunyai 21 juta penduduk.
“Beberapa jiran saya di tingkat bawah berkata mereka merasakannya dengan sangat ketara,” tambahnya.
“Tetapi kerana Chengdu kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan, orang ramai tidak dibenarkan meninggalkan kediaman mereka, jadi ramai antara mereka bergegas keluar ke halaman rumah.”
Talian telekomunikasi Moxi, sebuah bandar dengan kira-kira 7,000 penduduk berhampiran pusat gempa, terputus selepas gempa itu, lapor penyiar tempatan CGTN.
Sebuah video yang disiarkan dalam talian Pusat Rangkaian Gempa China menunjukkan batu-batu berselerakan menuruni lereng gunung di daerah Luding yang turut dilanda gempa. Gegaran itu menyebabkan wayar telefon di tepi jalan berayun.
Media kerajaan melaporkan beberapa gegaran susulan direkodkan di kawasan berhampiran.
Menurut USGS, gegaran kecil berukuran 4.6 magnitud melanda timur Tibet kurang sejam selepas gempa awal.
Lebih 500 anggota penyelamat dikerahkan ke pusat gempa manakala beberapa pekerja cuba membersihkan jalan yang terputus akibat tanah runtuh susulan gegaran, lapor CGTN. – AFP, 5 September, 2022.
Komen