WALAUPUN diminta berehat oleh doktor, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengambil risiko tampil di khalayak umum hari ini bagi merasmikan acara rasmi kerajaan negeri.
Beliau yang memakai pendakap leher (neck brace) dan pendakap belakang (back brace) jelas dalam keadaan tidak selesa tetapi ceria bergurau dan bersemangat ketika muncul di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
“Ini kemunculan rasmi pertama saya sejak keluar daripada hospital kerana kecederaan tulang belakang yang menyebabkan saya perlu berehat seperti laporan media.
“Bagaimanapun - seperti tuan dan puan lihat, saya kembali ‘in action’!
“Doktor nasihatkan saya untuk kurangkan acara awam dalam beberapa minggu ini tetapi, di hadapan kumpulan pakar perubatan di sini, saya abaikan keadaan saya dan ambil risiko (tampil di sini),” kata beliau ketika merasmikan skim rawatan jantung Selangor di IJN hari ini.
Pengarah Komunikasi Pejabat Azmin Yin Shao Loong kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa menteri besar itu sedang mendapatkan rawatan fisioterapi, selepas disahkan mengalami kecederaan tulang belakang ‘annular tear of spinal disc’.
Beliau mengalami kecederaan itu minggu lalu, ketika sedang teruja membersihkan rumahnya dan mengalihkan perabot untuk menyambut kehadiran cucu sulungnya.
Bagaimanapun, beberapa pihak mendakwa Azmin, yang tidak dilihat dalam sebarang acara sejak awal minggu lalu sengaja menyembunyikan diri selepas kes penyelesaian tanah bekas peneroka Felda Bukit Cerakah di Ijok menjadi hangat.
Azmin hari ini mengumumkan kerjasama strategik bersama IJN untuk membiayai rakyat Selangor yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan premier tersebut.
Kerajaan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menyumbang RM10 juta dalam belanjawan negeri tahun ini untuk membantu kira-kira 500 rakyat Selangor yang berpendapatan rendah di bawah skim penjagaan kesihatan negeri.
Beliau menghabiskan masa selama hampir dua jam di IJN bagi melawat beberapa pesakit Selangor yang ditempatkan di wad sebelum menukar baju dan bergegas untuk rawatan fisioterapinya di Damansara petang tadi. – 26 Februari, 2018.
Komen