Najib kekal ahli Parlimen Pekan sehingga pengampunan dibereskan, kata speaker


Elill Easwaran

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, menurut Speaker Dewan Rakyat.

Azhar Azizan Harun berkata memandangkan petisyen pengampunan Najib telah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, maka kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen akan bermula sebaik petisyen itu diterima atau ditolak.

“Ini bermakna status Najib Razak sebagai ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampuan itu dibereskan.

“Memandangkan terdapat permohonan pengampunan yang belum selesai, kerusi Pekan tidak akan dikosongkan sehingga pengampunan itu diterima atau ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib telah dipenjarakan di Penjara Kajang sejak 23 Ogos selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan berhubung hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International.

Semalam, dilaporkan petisyen pengampunan diraja bekas perdana menteri Najib telah diedarkan di Pekan.

Timbalan Ketua Umno Pekan Zamri Ramly berkata beliau berharap sekurang-kurangnya 100,000 penduduk kawasan itu akan menandatangani petisyen berkenaan.

Semalam juga dilaporkan Najib terpaksa dibawa ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan kesihatan.

Beliau dilaporkan stabil namun keadaan kesihatannya tidak diketahui.

Pagi tadi Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen