Najib di mahkamah untuk perbicaraan 1MDB


Alfian Z.M. Tahir

Kenderaan membawa bekas perdana menteri yang dipenjarakan Najib Razak dilihat tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 September, 2022.

NAJIB Razak hadir di mahkamah hari ini untuk perbicaraan 1MDB walaupun sebelum ini dilaporkan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur berikutan masalah kesihatan yang tidak diketahui.

Bekas perdana menteri tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diapit oleh pengawal penjara.

Najib telah dipenjarakan di Penjara Kajang sejak 23 Ogos lalu apabila gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan berhubung kes SRC International.

Semalam, media melaporkan Najib terpaksa dibawa ke hospital kerajaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau dilaporkan stabil namun jenis masalah kesihatannya tidak diketahui.

Bekas perdana menteri yang dipenjarakan Najib Razak dilihat hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini walau semalam beliau dilaporkan masuk hospital atas faktor kesihatan. – Gambar EPA, 5 September, 2022.

Perbicaraan diteruskan dengan keterangan daripada bekas timbalan setiausaha kementerian kewangan Siti Zauyah Mohd Desa.

Najib berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, selain 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen