Jerman, Israel ingati 50 tahun pembunuhan beramai-ramai Olimpik Munich


Presiden Israel dan Jerman akan mengetuai hari peringatan 50 tahun pembunuhan beramai-ramai atlet Israel pada temasya Olimpik Munich 1972. – Gambar AFP, 5 September, 2022.

PRESIDEN Israel dan Jerman pada Isnin akan mengepalai hari peringatan 50 tahun serangan Olimpik Munich, dengan harapan perjanjian pampasan untuk keluarga akan membantu mereka daripada tragedi menyayat hati itu.

Perbalahan mengenai tawaran kewangan yang sebelum ini dibuat Berlin kepada saudara mangsa telah mengancam memburukkan majlis peringatan itu, dengan ahli keluarga rancang untuk memboikot.

Namun perjanjian akhirnya dipersetujui pada Rabu supaya Berlin memberikan pampasan 28 juta euro (AS$28 juta). Ia juga, buat pertama kali, menyaksikan negara Jerman mengakui “bertanggungjawab” dalam kegagalan yang membawa kepada kematian 11 warga Israel.

Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier mengakui pada Ahad adalah “memalukan” ia mengambil masa yang lama untuk Berlin mencapai persetujuan dengan keluarga mangsa.

“Sudah terlalu lama, kami telah menolak untuk mengakui kedukaan mereka,” kata Steinmeier pada jamuan negara dengan Isaac Herzog dari Israel.

“Dan sudah terlalu lama, kami tidak mahu mengakui yang kami juga bertanggungjawab. Ianya bergantung kepada kami untuk memastikan keselamatan atlet Israel,” katanya.

Menjelang majlis pada Isnin di pangkalan udara Fuerstenfeldbruck di mana pengambilan tebusan mencapai kemuncak tragisnya, pegawai Jerman yang bertanggungjawab memerangi anti-Semitisme, Felix Klein, berkata sudah tiba masanya Jerman memohon maaf.

“Dan saya fikir presiden ada kata-kata yang tepat pada acara peringatan pada Isnin,” katanya. – AFP, 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen