Iran tingkat tindakan keras terhadap penganut Bahai


Pusat Dunia Bahai di Haifa, Israel. Iran memfatwakan Bahai sebagai "sesat" dan sering menuduh penganut itu sebagai pengintip Israel, berdasarkan dakwaan pusat kepercayaannya terletak di Haifa. – Gambar EPA, 5 September, 2022.

IRAN telah memperhebat tindakan keras terhadap minoriti agama bukan Islam terbesarnya iaitu Bahai dengan menangkap belasan penganutnya.

Tehran mendakwa minoriti Bahai mempunyai kaitan dengan Israel tetapi masyarakatnya menegaskan ia hanya membincangkan mengenai pendidikan.

Bahai sejak bulan lalu telah bersuara mengenai peningkatan penganiayaan di Iran, yang terdiri daripada penahanan, serbuan ke atas perniagaan hingga kemusnahan rumah dengan jentolak.

Iran memfatwakan Bahai sebagai “sesat” dan sering menuduh mereka sebagai pengintip yang dikaitkan dengan Israel, berdasarkan dakwaan pusat kepercayaan itu terletak di bandar Haifa di utara Israel.

Tetapi masyarakat Bahai menolak dakwaan sedemikian, berkata baki penganut di Iran komited untuk bekerja bagi kebaikan negara dan Haifa muncul sebagai pusat kepercayaan sebelum negara Israel ditubuhkan pada 1948.

Iribnews, laman web televisyen negara, berkata perisikan di wilayah Mazandaran “mengenal pasti dan menangkap 12 anggota pertubuhan Zionis Bahai di bandar-bandar berbeza di wilayah itu”.

“Dua daripada pemimpin organisasi pengintip ini telah dilatih di Bayt-al-Adl,” Pusat Keadilan Sejagat Bahai di Haifa, katanya mengenai mereka yang ditangkap di wilayah utara. – AFP, 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen