PERDANA Menteri Ukraine Denys Shmygal pada Ahad menyuarakan harapan agar Jerman membantu Kyiv membina pertahanan udaranya, ketika beliau berusaha mendapatkan lebih banyak senjata berat dari Berlin.
Shmygal merupakan pegawai peringkat tinggi Ukraine pertama melawat Jerman sejak beberapa bulan, tanda ketegangan mereda antara Kyiv dan Berlin.
Sambutan awal Jerman yang kelihatan keberatan untuk memberikan sokongan ketenteraan kepada Kyiv berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mencetuskan kegusaran.
Namun Shmygal mengakui semasa lawatannya Jerman telah meningkatkan bantuan ketenteraannya dengan ketara, dengan persenjataan berat seperti kereta kebal howitzer 2000 atau pelancar roket MARS semuanya “berfungsi dengan baik di medan pertempuran”.
Sistem pertahanan udara Iris-T dijangka akan dihantar pada musim luruh, katanya, menambah Ukraine “berharap Jerman akan menjadi salah satu peneraju dalam proses membangunkan pertahanan udara Ukraine”.
Dalam ucapan mengenai visinya untuk Eropah pada Isnin, Canselor Olaf Scholz berkata beliau melihat Jerman mengambil “tanggungjawab khas” untuk membantu Ukraine membina sistem artileri dan pertahanan udaranya. – AFP, 5 September, 2022.
Komen