Jerman tambah tentera di Lithuania


Lebih kurang 100 tentera Jerman yang tiba di Lithuania itu akan membentuk unit komando briged baharu, sebuah kumpulan yang biasanya terdiri daripada kira-kira 4,000 tentera. – Gambar EPA, 5 September, 2022.

KIRA-KIRA seratus askar Jerman tiba di Lithuania pada Ahad, selepas Jerman berjanji untuk meningkatkan kehadirannya di sayap timur Nato berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Kelihatan tentera memandu keluar dari feri di bandar pelabuhan Klaipeda.

Mereka akan membentuk unit komando briged baharu, sebuah kumpulan yang biasanya terdiri daripada kira-kira 4,000 tentera.

“Mesej kami kepada sekutu kami di sini, di sayap timur, ialah kami komited untuk jaga keselamatan,” kata komander briged Christian Nawrat.

Unit arahan akan kekal di negara Baltik, manakala unit tempur akan menyertai mereka untuk latihan, tambahnya.

Seorang anggota tentera Jerman berpangkat tinggi berkata latihan pertama akan diadakan pada Oktober.

Jerman, yang mengetuai kumpulan pertempuran Nato di Lithuania, sudah mempunyai kira-kira 1,500 tentera Jerman di negara itu.

Negara Baltik Estonia, Latvia dan Lithuania yang dahulunya ditadbir oleh Soviet, yang kesemuanya kini menjadi anggota EU dan Nato, bimbang mereka akan menjadi yang sasaran Rusia seterusnya jika Ukraine tewas.

Sejak permulaan konflik, mereka telah meminta lebih banyak tentera Nato dan penciptaan briged untuk menggantikan unit semasa.

Canselor Jerman Olaf Scholz pada Jun berkata negaranya bersedia untuk mengerahkan lebih banyak tentera ke Lithuania “ke arah briged tempur yang mantap yang boleh beroperasi sebagai penghalang dan bertahan daripada pencerobohan”.

Nato telah mengukuhkan sayap timurnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya sejak Rusia mengambil Crimea pada 2014.

Pada 2017, empat kumpulan pertempuran berbilang negara telah dikerahkan ke tiga negara Baltik dan Poland.

Berikutan permulaan pencerobohan Rusia pada akhir Februari, Nato telah memutuskan untuk menubuhkan empat kumpulan pertempuran baharu di Bulgaria, Hungary, Romania dan Slovakia. – AFP, 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen