112 maut akibat banjir di Sudan


Sebanyak 34,944 rumah musnah sepenuhnya manakala 49,060 sebahagiannya rosak, kata jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Pertahanan Awam Sudan, Abdel Jalil Abdelreheem. – Gambar EPA, 4 September, 2022.

LEBIH 100 orang terbunuh dan puluhan ribu rumah musnah akibat banjir susulan hujan lebat melanda Sudan sejak Mei, kata polis hari ini.

Hujan lebat biasanya turun di Sudan antara Mei dan Oktober, dan negara itu berdepan banjir teruk setiap tahun, memusnahkan harta benda, infrastruktur dan tanaman.

Bulan lalu, Sudan mengisytiharkan darurat akibat banjir di enam negeri.

“Jumlah mangsa yang terkorban akibat banjir susulan hujan lebat mencecah 112 orang,” kata jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Pertahanan Awam Sudan, Abdel Jalil Abdelreheem.

Pihak berkuasa sebelum ini memberikan angka korban akibat banjir setakat musim hujan ini kepada 79 orang.

“Sebanyak 34,944 rumah musnah sepenuhnya manakala 49,060 sebahagiannya rosak,” kata Abdelreheem kepada AFP, sambil menambah kira-kira 115 orang cedera.

Krisis itu berlaku ketika Sudan bergelut akibat pergolakan politik dan krisis ekonomi yang semakin meruncing malah diburukkan lagi oleh rampasan kuasa tentera tahun lalu diketuai ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), memetik jumlah dikeluarkan kerajaan, berkata banjir kilat yang melanda Sudan seminggu lalu menjejaskan 226,000 orang di seluruh negara itu.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bandar Gedaref dan Kassala, wilayah Utara dan Selatan Kordofan, Sungai Nil, dan wilayah Darfur adalah antara kawasan yang teruk terjejas.

PBB juga memberi amaran banjir tahun ini boleh menjejaskan sehingga 460,000 orang – jauh lebih tinggi berbanding purata 388,600 orang terjejas setiap tahun antara 2017 dan 2021. – AFP, 4 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen