MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menyelar tindakan menteri besar terdahulu, Khalid Ibrahim yang disifatkannya tidak bertanggungjawab kerana merampas tanah peneroka Felda Bukit Cerakah di Ijok dan membawa kes itu ke mahkamah.
Azmin berkata ia berbeza dengan tindakan kerajaan negeri bawah pimpinannya yang berjaya memberikan kembali hak peneroka setelah dinafikan selama hampir 20 tahun itu.
“Apabila Khalid mengambil alih pun, beliau sendiri tidak mampu menyelesaikan masalah legasi (tanah) yang berlarutan hampir 20 tahun.
“Merampas tanah bukan penyelesaian. Apa yang dilakukan Khalid Ibrahim adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana ianya tidak membantu menyelesaikan masalah peneroka yang telah menggunakan titik peluh mereka untuk membangun dan menyuburkan tanah tersebut,” katanya.
Khalid merupakan menteri besar pertama daripada PKR yang bertindak ke atas kes tersebut dengan membawa kedua-dua pemaju terlibat ke mahkamah bagi memastikan penyelesaian dilakukan.
Isu tanah bekas peneroka di Ijok itu hangat apabila Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Abdul Rahman Dahlan pada 15 Februari lalu mendesak Azmin menjelaskan “tindakan tergesa-gesa” kerajaan negeri menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pemaju pada 2016.
Jelas Azmin, kerajaan Selangor bawah pimpinan beliau memulangkan semula tanah tersebut kepada pemaju asal pada 2015 untuk dijual.
Langkah tersebut sekali gus menyelesaikan masalah pampasan kepada peneroka Felda Bukit Cerakah bagi tanah yang kini dibina rumah teres, katanya.
Kumpulan peneroka berkenaan menunggu penyelesaian sejak 2000 apabila pemaju gagal membayar pampasan dan membina rumah baru kepada mereka.
Langkah penyelesaian melalui Jawatankuasa Bertindak Rumah Terbengkalai Alam Mutiara dan Alam Utama Bukit Cerakah pada 2015 itu menetapkan peneroka akan dapat baki pampasan tertunggak dan tidak perlu membayar apa-apa bagi rumah yang dibina untuk mereka.
Bagaimanapun sekumpulan lagi bekas peneroka yang berpihak kepada BN masih menuntut Azmin pampasan lebih kerana mendakwa Kerajaan Selangor hanya memberi sebahagian daripada hasil penjualan tanah itu kepada mereka.
Wakil kumpulan itu, Mohd Fadzil Ibrahim berkata ini kerana ada keraguan pada perjanjian itu termasuk harga rumah RM200,000 dan saiz rumah lebih kecil berbanding perjanjian asal pada tahun 2000.
Mengulas mengenai tuntutan itu, Azmin berkata tindakan Umno dan BN yang masih membangkitkan isu tersebut sebagai cubaan fitnah dan berniat jahat kerana tidak mahu menyelesaikan masalah peneroka.
“Hari ni terbukti Umno tidak mahu masalah peneroka diselesaikan,” kata Azmin lagi ketika ditemui di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Azmin turut mencabar pemimpin BN yang mahu membawa perkara itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bersedia bekerjasama dengan siasatan pihak berkuasa.
“SPRM telah pun menjalankan siasatan daripada tahun lalu lagi, namun kita bersedia untuk memberikan maklumat tambahan atau kerjasama diperlukan supaya akhirnya kebenaran akan tetap menyerlah.
“...Bagi saya, tanggungjawab kerajaan negeri adalah untuk mmbantu menyelesaikan masalah peneroka dan bukan berpihak kepada pemaju yang sekadar mencari untung,” katanya.
Wakil peneroka sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight yang kebanyakan mereka menolak penyelesaian Khalid kerana tidak mahu mengambil masa lama menunggu proses mahkamah.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak yang mewakili peneroka itu, Omar Ali Bashah, berkata beliau juga hairan kenapa Umno membangkitkan semula isu itu sekarang selepas kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan berjaya menyelesaikan isu tersebut. – 26 Februari, 2018.
Komen