IRAN menahan 12 pengikut agama Bahai yang didakwa mempunyai kaitan dengan musuh ketat republik Islam itu, Israel, lapor media kerajaan hari ini.
Bahai, golongan minoriti bukan Islam terbesar di Iran mengikuti ajaran Bahaullah yang dilahirkan di Parsi pada 1817, yang mereka anggap sebagai nabi dan pengasas kepercayaan monoteistik.
Iran mengklasifikasikan Bahais sebagai “ajaran sesat” dan sering menuduh kumpulan itu sebagai pengintip yang dikaitkan dengan Israel, kerana ibu pejabat mereka terletak di bandar Haifa, utara Israel.
“Direktorat Am Perisikan di wilayah Mazandaran mengenal pasti dan menahan 12 ahli pertubuhan Zionis Bahai di beberapa bandar berbeza di wilayah itu,” lapor portal berita Iribnews.
“Dua daripada pemimpin organisasi pengintip ini dilatih di Bayt-al-Adl,” Balai Keadilan Sejagat Bahais di Haifa, katanya sambil menambah tangkapan dilakukan di wilayah utara.
Iran, negara yang berpegang teguh kepada ajaran Syiah, mengiktiraf agama minoriti termasuk Kristian, Yahudi dan Zoroastrianisme, tetapi bukan Bahaisme dengan pengikut dianggarkan berjumlah 300,000 orang di Iran.
Kementerian perisikan Iran kali terakhir mengumumkan pada awal Ogos, pihaknya menangkap Bahais yang disyaki mengintip dan bekerja secara haram untuk menyebarkan agama mereka.
Mereka diarahkan untuk “menyusup persekitaran pendidikan di peringkat berbeza, terutamanya tadika di seluruh negara”, kata kementerian itu.
Pada Disember 2018, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima pakai resolusi yang menyeru Iran menamatkan pencabulan hak asasi manusia terhadap agama minoriti termasuk Bahai, dengan menyebut “gangguan, ugutan, penganiayaan, penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya” adalah antara satu pelanggaran.
Kepercayaan Bahai ialah agama monoteistik yang agak moden dengan kerohanian sejak awal abad ke-19 di Iran. Agama tersebut turut menggalakkan perpaduan semua orang dan kesaksamaan.
Komuniti Bahai mendakwa mempunyai lebih tujuh juta pengikut di seluruh dunia. – AFP, 4 September, 2022.
Komen