Iran umum sistem pertahanan ancaman kimia, biologi di 51 bandar


Timbalan Menteri Pertahanan Mehdi Farahi berkata kementeriannya menyediakan 51 bandar di negara ini dengan pemasangan dan peralatan yang diperlukan untuk pertahanan pasif. – Gambar EPA, 4 September, 2022.

PIHAK berkuasa Iran memperkenalkan sistem pertahanan di 51 bandar untuk mengatasi"ancaman biologi, radiologi dan kimia”, kata Timbalan Menteri Pertahanan Mehdi Farahi.

Kementerian pertahanan “menyediakan 51 bandar di negara ini dengan pemasangan dan peralatan yang diperlukan untuk pertahanan pasif”, kata Farahi dipetik sebagai berkata portal berita, Iribnews hari ini.

Beliau menambah kementerian “kini dapat mengenal pasti ancaman terhadap infrastruktur yang disediakan bagi menghadapi semua jenis ancaman biologi, radiologi dan kimia”.

Pengumuman itu dibuat ketika Iran terlibat dalam rundingan untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa dunia yang memberikan kelegaan sekatan diperlukan republik Islam itu sebagai balasan mengekang program nuklearnya.

Ketika momentum membina untuk memulihkan perjanjian itu, Israel melancarkan desakan saat-saat akhir untuk meyakinkan sekutu bagi menghentikan perbincangan.

Pada 28 Ogos, Perdana Menteri Israel Yair Lapid berkata arahan diberikan kepada tentera dan agensi perisik Mossad untuk “bersedia dengan sebarang senario” sekiranya perjanjian itu diluluskan.

Pada Mac 2021, bekas menteri pertahanan Iran Amir Hatami berkata republik Islam itu harus bersedia untuk mempertahankan diri daripada serangan nuklear, kimia dan biologi.

“Kita mesti bersedia untuk mempertahankan negara kita daripada semua ancaman dan apa sahaja yang musuh boleh gunakan suatu hari nanti sebagai alat untuk menyerang,” katanya pada majlis memperingati serangan kimia 1987 terhadap Kurd Iran oleh bekas diktator Iraq, Saddam Hussein.

“Ini termasuk (serangan menggunakan) senjata kimia, nuklear dan biologi,” tambah Hatami, menurut agensi berita Fars.

Semasa perang Iran-Iraq pada 1980-an, tentera Saddam melancarkan banyak serangan kimia ke atas Iran, termasuk serangan 1987 ke atas bandar Kurdish Sardasht di barat laut Iran.

Jumlah korban rasmi ialah 119 orang dan 1,518 lagi cedera, tetapi saksi berkata beribu-ribu lagi terdedah kepada gas mustard yang dijatuhkan dalam kanister dari pesawat. – AFP, 4 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen