PEMANDU lori dan bapa kepada tujuh anak, Mureed Hussain merancang untuk perkahwinan anak perempuannya pada Oktober, namun banjir yang berlaku memusnahkan rumah dan mas kahwin yang dikumpul.
“Saya mengumpul mas kahwinnya selama hampir tiga tahun,” kata Hussain kepada AFP ketika ditemui di halaman rumah yang dikongsi bersama keluarga abangnya.
“Saya akan menggunakan duit untuk membaiki rumah dan juga membelanjakan sedikit untuk mas kahwinnya.”
Hujan monsun yang membawa bersama banjir kilat di seluruh Pakistan sejak Jun, mengorbankan lebih 1,200 orang dan menyebabkan hampir satu pertiga daripada negara itu ditenggelami air, dan menjejaskan 33 juta nyawa.
Kumpulan teruk terjejas ialah golongan miskin di kawasan luar bandar di negara ini, selepas harta benda, duit simpanan dan tanaman mereka hanyut.
Kampung Hussain yang terletak di wilayah Punjab terjejas teruk, dengan air banjir memusnahkan atau merosakkan banyak bangunan.
Turut dihanyutkan ialah “rancangan” perkahwinan untuk anak perempuan Hussain, Nousheen.
Setiap bulan Hussain akan menyimpan beberapa ribu rupee untuk mas kahwin anaknya daripada gaji 17,000 rupee (AS$80) yang diterima memandu lori.
Adalah menjadi kebiasaan bagi keluarga di Pakistan untuk memberikan mas kahwin mewah ketika seorang anak perempuan berkahwin.
Di kebanyakan kawasan, ibu bapa dijangka mula menabung untuk mas kahwin anak perempuan mereka sejak dilahirkan. – AFP, 4 September, 2022.
Komen