Dana 1MDB, SPRM siasat penglibatan beberapa individu di Kuwait


SPRM adakan beberapa siri perbincangan bersama agensi penguatkuasa Kuwait sejak dua tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2022

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat menjalankan siasatan berhubung isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beberapa individu di Kuwait.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan bersama agensi penguatkuasa Kuwait sejak dua tahun lepas.

“Ketika ini SPRM masih menunggu keterangan dari pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama dan perkara berkenaan masih lagi dalam kajian pihak Kuwait.

“SPRM sebagai antara peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset dan wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB serta beberapa syarikat lain yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan setiap tindakan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang amat kompleks dan rumit.

Sehubungann itu agensi itu memohon semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan.

Pada 16 Julai lepas Pejabat Peguam Negara menolak sepenuhnya tawaran penyelesaian ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho kepada kerajaan Malaysia. – Bernama, 4 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen