Hamas hukum bunuh 5 pesalah, termasuk 2 tali barut Israel


Menurut Hamas, kelima-lima defendan sebelum ini diberikan hak penuh untuk membela diri. – Gambar EPA, 4 September, 2022.

PEJUANG Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza mengumumkan pergerakan membunuh lima rakyat Palestin, termasuk dua individu didakwa menjadi “tali barut” kepada Israel.

“Pada pagi Ahad, hukuman mati dijalankan terhadap dua individu yang dikutuk kerana bekerjasama dengan pendudukan (Israel), dan tiga lagi dalam kes jenayah,” menurut Hamas dalam satu kenyataan.

Gerakan Islam itu menambah defendan sebelum ini diberikan “hak penuh untuk membela diri”.

Kementerian Dalam Negeri Hamas hanya memberikan singkatan dan tahun kelahiran lima rakyat Palestin yang dihukum mati itu, tanpa butiran penuh mereka.

Kedua-dua yang dihukum mati kerana “berkerjasama” dengan Israel adalah individu yang dilahirkan pada 1978 dan 1968.

Menurut Hamas, individu paling tua antara dua pesalah berkenaan adalah penduduk Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. Dia disabitkan bersalah kerana membekalkan “maklumat tentang kumpulan penentang, kediaman mereka… dan lokasi tempat pelancaran roket” kepada Israel pada 1991.

Kenyataan itu turut menyebut, seorang lagi disabitkan kerana menjadi ejen perisik hingga membawa kepada kematian rakyat negara itu oleh tentera Israel pada 2001.

Menurut kenyataan itu, tiga lagi yang dihukum mati disabitkan dengan kesalahan membunuh. – AFP, 4 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen