Ahli politik megalomania


Haris Hauzah

Jangan tak tahu atau buat-buat tak tahu. 

Menjadi seorang pengundi tidak bererti anda seseorang yang bijak sebenarnya. Pun begitu, ia tidaklah pula bermakna seorang pengundi itu bengap tak tahu apa-apa tentang pilihan raya.

Sebagai pengundi anda tentunya mempunyai pengetahuan tentang apa itu demokrasi dan  pilihan raya. Lantas kerana dorongan itulah maka seseorang pengundi itu keluar menjalankan tanggungjawabnya kepada negara.

Walau bagaimanapun ada perkara yang harus setiap pengundi itu fikir dan waspada malah lebih kerap berikan perhatian. Ia penting dilakukan kerana di hadapan para pengundi sekalian bukan hanya ada sistem demokrasi dan aturan pilihan raya saja sebaliknya juga ada berlonggok-longgok politikus megalomania yang lapar jawatan dan dahaga kuasa.

Megalomania adalah suatu keadaan psikologi seorang manusia yang menghidap sejenis sakit mental. Seorang megalomania atau penghidap penyakit mental jenis ini sering mengkhayalkan diri mereka penting, berpengaruh, dan berkuasa. 

Seorang politikus megalomania selalu perasan bagus hasil dari asuhan yang dia dapat daripada sekalian para pengikut yang dulu, kini dan selamanya membontot saja dengan setia. 

Seorang politikus megalomania selalu bijak berbicara. Dia pintar berdalih untuk menepis segala tuduhan salah guna kuasanya dengan cara, strategi dan teknik yang luar biasa.

Keyakinan untuk parti yang diketuainya bakal menang besar dalam pilihan raya memang suatu keyakinan yang bukan biasa-biasa. Dia malah sangat percaya akan kemampuannya untuk mengalahkan siapa dan apa sahaja yang datang melawan atau cuba menentangnya.

Sungguhpun begitu tanpa jawatan dan kekuasaan dalam kerajaan seorang politikus megalomania yang perasan bagus di hadapan pengekor partinya tetap akan merasa tak berdaya. 

Mana-mana politikus megalomania tentu mahukan juga seorang ketua peguam negara daripada kalangan ‘orang dia’. Mereka tentu saja suka seandainya seorang speaker dewan rakyat dan seorang peguam negara yang lebih cenderung kepada kemahuan dan kehendak mereka. 

Justeru kemenangan untuk merampas semula semua kerusi Parlimen itu diperlukan dalam kadar segera. Ia perlu direalisasikan supaya segala urusan negara dapat dijalankan dengan lancar serta lebih selesa. Sekaligus dapat mengelak suasana ketidaktentuan politik negara yang mana pengundi pun tak suka.

Situasi ketidakstabilan itu bahaya. Ia memungkinkan mana-mana politikus megalomania bukan saja rimas tak selesa kerana ketiadaannya ‘orang dia’ di mana-mana malah dia akan sering berasa terdesak apabila segala korupsinya dihidu, didedah, didakwa dan dibicara.

Seorang megalomania tak mahu diadili cepat. Mereka lebih suka menangguh-nangguhkan perbicaraan mereka. Biar pengundi cuai, lalai dan segera lupa. 

Biar pengundi hanya nampak gambar-gambar dia dengan kain ihram umrahnya berdoa depan kaabah setiap malam di sepuluh malam terakhir Ramadan saja.

Seorang politikus megalomania tidak gemar pada pergelutan dan konflik kuasa. Sebaliknya mereka suka kata-katanya dituruti tanpa dipertikaikan sesiapa.

Jangan tak tahu. Atau sengaja buat-buat tak tahu. 

Seorang politikus megalomania itu juga bijak mengawal pengikut, pengekor dan para penjilatnya. Pengikut parti yang sanggup mati demi parti ini kalau disuruh jerit ‘malu apa bossku’ pasti mereka akan menjerit sekuat hati. 

Kalau diajak mengejek seorang perdana menteri bertaraf naib presiden parti mereka sendiri pun pengekor-pengekor parti ini ‘booooooookan’ saja selamba. 

Penjilat yang lidahnya ditindik dengan logo parti takkan reti erti letih atau semudahnya akan berputus asa. Perkataan “bubar!” boleh saja ditakbirkan lima kali sehari semalam jadi doa dan wirid mereka.

Sebagaimana apa yang disebutkan pada perenggan awal tulisan ini tadi, menjadi seorang pengundi, tidak menjadikan anda seorang yang bijaksana.

Pada Muktamar PAS ke-68 yang berlangsung di Alor Setar baru-baru ini, presiden PAS ada berkata dalam ucapannya: “Undi penentu daripada kalangan anak muda lelaki dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat.”

Apa yang dikatakan Abdul Hadi Awang ini adalah realiti politik yang tentunya bukan muncul dari dalam ruang vakum.

Para pengundi negara ini khususnya pengundi Melayu yang mahu dirujuk dalam tulisan ini sememangnya lemah dalam urusan keilmuan. 

Hal ini berlaku apabila orang Melayu sendiri meninggalkan sumber-sumber ilmu yang mereka ada. Akibatnya banyak ilmu lenyap begitu saja tanpa diambil pengajaran serta sebahagian pengetahuan pula hilang tidak dijejaki untuk diwarisi keilmuannya.

Seandainya pengundi Melayu giat mengkaji dan banyak membaca tentu mereka faqih dalam ilmu-ilmu politik bangsa mereka. 

Tentu mereka mudah menghidu kewujudan politikus megalomania yang rajin ke tanah suci tapi tetap jadi penagih korupsi. Kalau pengundi Melayu rajin membaca dan mengkaji tentu mereka sedar kewujudan ulama parti yang cintakan pengkhianat dan mesra pencuri.

Boleh jadi sarjana kolonial seperti Stamford Raffles, Frank Swettenham dan Hugh Clifford tidak salah apabila mereka mengaitkan orang Melayu dengan bodoh dan malas.

Kerana seandainya pengundi Melayu Islam itu mahu mengkaji dan rajin membaca pasti mereka tahu rasuah dan salah guna kuasa sudah lama berkuasa dalam istana dan berleluasa di pasar-pasar sewaktu keunggulan kerajaan Melayu Melaka.

Perbuatan meminta-minta hadiah dan habuan tentu ada mereka terbaca. Cerita sogokan antara pembesar dan para bangsawan untuk mempengaruhi keputusan perbicaraan pasti saja mereka akan jumpa. 

Malah ada catatan perihal sultan yang hanya pejamkan mata atas jenayah konglomerat elit negeri Melaka lantas kerana kononnya dia individu penting dan sangat berjasa. 

Ada banyak sekali teks Melayu sepertimana Sejarah Melayu yang memberi maklumat pada pengundi yang rasuah, salah guna kuasa, lanun dan rompakan dalam kalangan pemimpin tertinggi negara adalah biasa.

Sebab itu kita perlu kenal siapa politikus megalomania. Agar Malaysia tak runtuh seperti Melaka. – 4 September, 2022.


Bermula July 2018, akses bagi laporan penuh hanya untuk anda yang melanggan. Daftar sekarang dan nikmati satu (1) minggu akses percuma!

Langgan sekarang!


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen