PAS mengarahkan ahlinya menggerakkan serangan lebih agresif ke atas Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Arahan itu dikeluarkan ketua penerangannya Khairil Nizam Khirudin bagi menyahut seruan presiden parti Abdul Hadi Awang agar parti tidak lagi dalam keadaan defensif.
Khairil mahu sasaran ditumpukan ke atas kepincangan yang berlaku selama 22 bulan pentadbiran PH terutama oleh DAP dan beliau sendiri akan memberi perincian data dan senarai isu.
“Kita tak boleh lagi dalam mood defensif. Saya menyeru kita kena bawa mood ofensif serang DAP dan PH.
“Isu paling besar yang PAS juara isu integriti (tapi) malang tak ramai perwakilan sentuh dalam perbahasan muktamar kali ini.
“Jadi kita ambil pengajaran balik ini kita akan bagi semua senarai kejahatan DAP, ekonomi ambil data itu dan gunakanlah pastikan rakyat tahu kejahatan PH dan sekutunya,” katanya.
Khairil berkata demikian dalam ucapan kepada para perwakilan Muktamar PAS Tahunan Ke-68 di Alor Setar. – 4 September, 2022.
Komen