PAS lega kerana Perikatan Nasional (PN) sedia berunding agar parti Islam itu dapat menggunakan lambangnya sendiri di beberapa negeri, kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata usul menggunakan lambang bulan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu telah diluluskan tanpa bahas dalam Muktamar PAS dan akan dibawa mesyuarat PN pada minggu depan.
“Kali ini kita tengok ada unsur pandangan dari perwakilan yang minta untuk PN timbang penggunaan logo dalam pilihan raya.
“Ada yang bangkit penggunaan logo di negeri tertentu, Kelantan, Terengganu, Kedah. Di peringkat parti kami akan buat perincian dulu seterusnya akan bawa ke peringkat PN untuk pertimbangkan.
“Secara asasnya saya tengok pengerusi PN berlapang dada untuk dengar pandangan tersebut di mesyuarat dan putuskan bersama,” kata Tuan Ibrahim kepada pemberita di Alor Setar, Kedah.
Beliau ditemui di Muktamar Tahunan Ke-68 parti itu yang berlangsung di Kompleks PAS, di Sarang Semut.
PN memutuskan akan menggunakan logo gabungan tersebut dalam PRU15 namum kalangan pemimpin parti Islam itu mahu PAS kekal menggunakan lambang bulan di negeri yang dikuasainya.
Semalam Muhyiddin berkata cadangan penggunaan logo PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15, akan dibincangkan Majlis Tertinggi PN yang dijangka bersidang minggu depan.
“Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai dan kami akan ambil kira. Jadi kalau itulah usul yang dikemukakan, apapun keputusan akan dibuat oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya. – 4 September, 2022.
Komen