Argentina kaitkan 4 kematian dengan penyakit Legionnaires


Menteri Kesihatan Argentina Carla Vizzotti berkata Legionnaires dikenal pasti sebagai penyebab utama radang paru-paru selepas mereka mengalami demam panas, sakit badan dan kesukaran bernafas. – Gambar AFP, 4 September 2022.

PEGAWAI kesihatan Argentina semalam berkata empat orang disahkan meninggal dunia akibat penyakit Legionnaires, jangkitan kuman yang agak jarang berlaku pada paru-paru.

Menteri Kesihatan Carla Vizzotti memberitahu pemberita Legionnaires dikenal pasti sebagai penyebab utama radang paru-paru selepas mereka mengalami demam panas, sakit badan dan kesukaran bernafas.

Kematian berlaku Isnin lalu di sebuah klinik di bandar San Miguel de Tucuman.

Yang terbaru pada Sabtu adalah seorang lelaki berusia 48 tahun yang mempunyai masalah kesihatan selain seorang wanita berusia 70 tahun yang menjalani pembedahan di klinik itu turut menjadi mangsa.

Tujuh lagi kes simptomatik sudah dikenal pasti, semuanya dari pertubuhan yang sama dan hampir kesemuanya melibatkan kakitangan klinik, kata pegawai wilayah.

Daripada tujuh itu empat masih dirawat di hospital, tiga daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan dan tiga di bawah pengawasan di rumah dengan gejala klinikal yang kurang rumit, kata Menteri Kesihatan wilayah Luis Medina Ruiz semalam.

Penyakit itu yang pertama kali muncul pada mesyuarat 1976 kumpulan veteran American Legion di bandar Philadelphia AS dikaitkan dengan air yang tercemar atau sistem penghawa dingin yang tidak bersih.

Apabila wabak di Tucuman pertama kali dikesan, doktor menguji pesakit untuk Covid-19 ekoran simptom yang dialami adalah sama namun semuanya negatif.

Sampel kemudian dihantar ke Institut Malbran di Buenos Aires dan menunjukkan ia merupakan penyakit Legionnaires.

Pada Rabu Medina Ruiz berkata punca toksik dan alam sekitar tidak boleh diketepikan. Beliau menyatakan sistem kawalan iklim klinik sedang diperiksa.

Vizzotti berkata pihak berkuasa sedang berusaha memastikan klinik itu selamat untuk pesakit dan kakitangan.

Presiden Kolej Perubatan Wilayah Tucuman Hector Sale awal minggu ini menyifatkan jangkitan bakteria sebagai agresif.

Tetapi beliau menambah jangkitan tidak mudah menular kepada orang lain selepas tiada kontak rapat daripada 11 kes itu dikesan mengalami gejala dijangkiti. – AFP, 4 September 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen