LUBNAN menahan lima ejen Keselamatan Negara semalam kerana disyaki mendera sehingga seorang tahanan Syria maut dalam dakwaan penderaan terbaru terhadap perkhidmatam keselamatan, sumber kehakiman memberitahu AFP.
Penangkapan dibuat atas arahan pesuruhjaya kerajaan kepada mahkamah tentera Fadi Akiki yang mengarahkan siasatan terhadap kematian bulan lalu dalam tahanan, kata sumber itu.
Pemuda Syria itu meninggal dunia dalam tempoh tiga jam selepas ditahan apabila berdepan penyeksaan teruk dan dipukul sehingga mengalami serangan jantung, kata sumber itu sambil menambah tahanan itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Ejen Keselamatan Negara menangkap Bashar Abdel Saud pada 31 Ogos dan membawanya ke kemudahan agensi di Bint Jbeil di selatan Lubnan untuk disoal siasat dengan tahanan lain.
Ejen itu mahu mendapatkan pengakuan daripada mangsa yang disyaki merupakan ketua yang dikaitkan dengan kumpulan IS tetapi mangsa berkeras menafikan dakwaan berkenaan, menurut sumber itu.
Agensi Keselamatan Negara yang berdepan pelbagai dakwaan melakukan penyeksaan berkata kematian Abdel Saud sudah dirujuk kepada pihak berkuasa.
Lubnan meluluskan undang-undang yang melarang melakukan penyeksaan pada September 2017 tetapi pada Mac tahun lalu kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menerbitkan laporan yang memperincikan dakwaan penggunaan penyeksaan terhadap 26 pelarian Syria yang ditahan atas tuduhan melawan keganasan – AFP, 4 September 2022.
Komen