CADANGAN Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang hanya untuk mengelakkan perpecahan undi.
Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata beliau menyedari bantahan PAS terhadap idea itu, sambil menambah bahawa gabungan itu bersedia untuk pertembungan pelbagai penjuru.
“Malah Ketua Pemuda PN yang juga Ketua Pemuda PAS pernah membangkitkan isu itu pada muktamar PN baru-baru ini.
“Jadi jawapan saya ialah kita harus melakukannya, jika boleh. Bagaimanapun, tidak kira sama ada pertembungan tiga penjuru, empat penjuru atau 10 penjuru, kita sudah bersedia,” katanya kepada pemberita pada persidangan Muktamar PAS ke-68 di Alor Setar.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau menerima keengganan PAS untuk bekerjasama dengan PH, dengan menyatakan bahawa perbezaan pendapat dialu-alukan dalam semangat “keterbukaan”.
Sebelum kenyataannya hari ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, gesaan PN agar pembangkang mempertimbangkan rundingan semula kerjasama politik dibuat demi kepentingan masa depan Malaysia dan rakyatnya.
Katanya, ia bagi menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke dalam kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PAS telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PH atau mana-mana parti komponennya pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.
Tambahnya parti itu juga telah menolak pendekatan ‘khemah besar’ dan keputusan itu dicapai pada mesyuarat jawatankuasa harian. – 3 September, 2022.
Komen