Penerbangan Melaka-Pekanbaru, Indonesia dijadual semula 12 Sept ini


PENERBANGAN ke dua destinasi iaitu Melaka-Pekanbaru-Melaka dan Melaka-Pulau Pinang-Melaka oleh syarikat Batik Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, Melaka dijadual semula pada 12 September ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Muhammad Jailani Khamis berkata pada 12 Ogos lepas penerbangan ke laluan terbabit ditangguhkan ekoran kurang sambutan daripada pelancong tempatan dan luar negara.

“Saya menerima jadual penerbangan baharu daripada Batik Air bagi laluan Melaka-Pekanbaru-Melaka dan Melaka-Pulau Pinang-Melaka yang ditangguhkan pada bulan lepas.

“Bagi penerbangan pertama dari Pekanbaru ke Melaka pada 12 September ini kita akan bawa rombongan Wali Kota Pekanbaru seramai 140 orang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Gemilang Jabatan Penerangan Daerah Melaka Tengah hari ini.

Katanya untuk permulaan kekerapan penerbangan bagi laluan tersebut dijadualkan dua kali seminggu namun bergantung kepada permintaan pengguna.

Muhammad Jailani berkata penerbangan sewa khas bagi laluan Melaka ke Surabaya dan Jakarta, Indonesia menerusi LTAM juga dijangka bermula dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata kerajaan negeri bersedia mengusahakan dana bagi membantu menubuhkan unit atau kawasan kebudayaan di Perkampungan Tradisional Melayu Kampung Morten di sini.

Katanya inisiatif itu bertujuan meningkatkan aktiviti kebudayaan di perkampungan berkenaan yang menjadi antara destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kampung Morten memang terkenal dan sinonim dengan industri pelancongan di Melaka dan kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan serta keperluan kampung itu mengikut perkembangan semasa sektor pelancongan.

“Ia bagi memastikan Kampung Morten terus relevan sebagai sebuah destinasi pelancongan yang sarat dengan kebudayaan tradisional Melayu dan dapat terus dimartabatkan,” katanya. – Bernama,  3 September,  2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen