Pemimpin junta Myanmar akan lawat Rusia 


Pemimpin junta tentera Myanmar Min Aung Hlaing akan mengadakan lawatan ke Rusia minggu depan untuk rundingan ekonomi.– Gambar EPA, 3 September, 2022.

PEMIMPIN junta tentera Myanmar akan mengadakan lawatan ke Rusia minggu depan untuk rundingan ekonomi, lapor media negara di negara Asia Tenggara itu Sabtu.

Lawatan Min Aung Hlaing diadakan ketika kedua-dua kerajaan menghadapi pengasingan diplomatik—Moscow kerana pencerobohan Februari ke atas Ukraine, dan Naypyidaw untuk rampasan kuasa tentera tahun lalu.

Beliau akan menghadiri Forum Ekonomi Timur di bandar timur jauh Vladivostok, menurut The Global New Light of Myanmar.

Wakil dari China, India, Jepun, Kazakhstan dan negara lain akan turut hadir.

Jeneral itu akan mengadakan perbincangan dengan pegawai kerajaan Rusia untuk “mengukuhkan lagi kerjasama” dan hubungan mesra antara ekonomi dan kerajaan kedua-dua negara, kata laporan itu.

Sejak tindakan menggulingkan kerajaan awam Aung San Suu Kyi pada Februari tahun lalu, Myanmar telah berdepan sekatan Barat dan penurunan dalam hubungan.

Min Aung Hlaing mungkin tidak dijemput ke sidang kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) di Phnom Penh pada November, apabila blok itu kecewa kerana kekurangan kemajuan dalam menyelesaikan krisis politik negara itu.

Myanmar telah berada dalam keadaan huru-hara dan ekonominya lumpuh apabila rejim tentera bergelut untuk mematahkan sebarang penentangan.

Lebih 2,200 orang telah terbunuh dalam tindakan keras itu, menurut pemantau tempatan.

Sementara itu, Rusia berada di bawah pelbagai sekatan antarabangsa selepas pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari. – AFP, 3 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen