SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat mengumumkan pelantikan Roza Otunbayeva dari Kyrgyzstan sebagai wakil khas untuk Afghanistan.
Otunbayeva juga akan berkhidmat sebagai ketua Misi Bantuan PBB di Afghanistan, lapor Xinhua.
Beliau menggantikan Deborah Lyons dari Kanada.
“Setiausaha agung itu mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan Lyons yang penuh dedikasi selama ini,” kata Guterres dalam satu kenyataan.
Otunbayeva mempunyai 35 tahun pengalaman dalam bidang kepimpinan, diplomasi, penglibatan sivik, dan kerjasama antarabangsa selain pernah berkhidmat sebagai presiden Republik Kyrgyz dari 2010 hingga 2011.
Beliau juga pernah dilantik menyandang jawatan menteri luar sebanyak tiga kali dan menjadi pemangku menteri pada 2005.
Di samping memegang beberapa jawatan diplomatik kanan termasuk sebagai duta Kyrgyzstan ke Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, beliau juga pernah berkhidmat dengan PBB sebagai timbalan wakil khas setiausaha agung untuk Misi Pemerhati PBB di Georgia dari 2002 hingga 2004. – Bernama, 3 September, 2022.
Komen