PM tak boleh putus tarikh pilihan raya sendiri, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata PN tetap menguasai majoriti dalam Kabinet walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merupakan naib presiden Umno.– Gambar The Malaysian Insight, 3 September, 2022.

PERDANA menteri tidak boleh memutuskan pembubaran Parlimen dan tarikh pilihan raya umum tanpa persetujuan Perikatan Nasional (PN), tegas Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau memberi alasan, PN tetap menguasai majoriti dalam Kabinet walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merupakan naib presiden Umno.

“Kabinet yang ada sekarang majoriti bukan Umno, tapi PN. Jadi PM tak boleh buat sebarang keputusan mengenai pilihan raya,” katanya kepada pemberita di Alor Setar, Kedah.

Mengulas lanjut, Hadi yang juga ahli Parlimen Marang itu berkata, sehingga kini Ismail masih lagi belum memanggil PAS untuk memaklumkan mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

“Masih belum lagi, PM patut panggil kita, PN,” katanya selepas merasmikan Muktamar PAS ke-68.

Ismail kini diasak pemimpin partinya untuk menyegerakan pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun ini.

Tekanan itu disuarakan selepas bekas presiden parti itu Najib Razak dihumban ke penjara selepas gagal dalam rayuan akhir kes kes pecah amanah jenayah dana SRC International.

Selain hukuman penjara 12 tahun itu, bekas perdana menteri tersebut perlu membayar denda RM210 juta dan berdepan hukuman lima tahun penjara lagi sekiranya gagal melunaskannya.

Beberapa pemimpin Umno lain kini menunggu giliran bagi menghadapi perbicaraan kes masing-masing.

Antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 tuduhan pecah amanah jenayah, mencuci wang haram dan juga tuduhan rasuah.

Isteri Najib, Rosmah Mansor juga pada minggu lalu didapati bersalah atas tuduhan rasuah melibatkan projek solar untuk sekolah pedalaman Sarawak.

Ahmad Zahid berulang kali menyebut bahawa pilihan raya perlu diadakan segera sewaktu parti itu dalam keadaan kuat, berdasarkan kemenangan dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka. – 3 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen