Sumpah baiah PAS atasi undang-undang lompat parti, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Sumpah taat setia PAS sepatutnya diberi kepercayaan kerana lebih berkesan berbanding daripada undang-undang yang baru dimaktubkan, kata presidennya Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2022.

PELAKSANAAN sumpah baiah atau lafaz taat setia diamalkan PAS terhadap calon pilihan raya lebih terbaik berbanding undang-undang menghalang lompat parti, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Beliau memberitahu perwakilan parti, sumpah taat setia PAS itu sepatutnya diberi kepercayaan kerana lebih berkesan berbanding daripada undang-undang yang baru dimaktubkan.

Jelasnya, sumpah itu diwajibkan kepada pemimpin parti dan calon pilihan raya berdasarkan perlembagaan PAS yang menetapkan hukum Allah dan Rasul sebagai sumber tertinggi.

“... (Sumpah ini) mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti. Langkah ini lebih berkesan daripada undang-undang lompat parti yang baru sahaja diperkenalkan.

“Sepatutnya PAS diberi lebih kepercayaan kerana adanya ikatan baiah yang lebih hebat daripada undang-undang kini yang luput tarikhnya,” katanya dalam Muktamar PAS di Alor Setar, Kedah.

Bagaimanapun, individu yang tidak memelihara integriti tetap akan melompat parti kerana tidak tahan kerana “kepanasan walaupun berada dalam bilik berhawa dingin, atau dipecat”, katanya.

Sumpah baiah itu diamalkan PAS terhadap pemimpinnya sejak sekian lama bagi mengelak berlakunya lompat parti  kerana ia bertepatan dengan dasar parti itu  memperjuangkan Islam.

Bagaimanapun amalan itu tetap tidak menghalang pemimpinnya untuk lompat parti, seperti dilakukan kumpulan yang membentuk parti Amanah selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Terbaharu Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Kharuddin Aman Razali umum keluar parti selepas jawatan dalam parti digugurkan.

Rang undang-undang antilompat parti diluluskan pada Julai lalu dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat. – 3 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen