Adakah PAS tidak yakin dengan Muhyiddin, tanya Amanah


Kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang menegaskan sehingga kini PAS dan Umno tidak pernah bercadang agar Muafakat Nasional dibubarkan menyerlahkan sikap sebenar PAS yang pentingkan diri sendiri dan kemaruk kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2022.

KENYATAAN PAS bahawa Muafakat Nasional masih wujud adalah isyarat jelas parti itu tidak yakin dengan kepimpinan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, kata Salahuddin Ayub.

Timbalan presiden Amanah itu itu merujuk kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang menegaskan sehingga kini PAS dan Umno tidak pernah bercadang agar Muafakat Nasional (MN) dibubarkan.

“Kenyataan timbalan presiden dan ketua Pemuda PAS beberapa hari lalu yang dilihat berterusan dengan ilusi bahawa MN masih wujud merupakan suatu isyarat jelas ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Muhyiddin.

“Ini mungkin bertitik tolak daripada jangkaan PAS melalui kenyataan dikeluarkan oleh Dr Zuhdi Marzuki – ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang juga merupakan setiausaha politik timbalan presiden PAS – apabila menjangkakan potensi Pakatan Harapan untuk menang lagi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat sempena Muktamar PAS ke-68 di Sik semalam, Tuan Ibrahim berkata MN perlu dikekalkan sebagai wadah agenda kepentingan Melayu dan Islam dan bukan sekadar untuk perbincangan politik sewaktu pilihan raya.

Mengulas lanjut, Salahuddin seterusnya berkata demi mengekalkan kuasa PAS tidak peduli walaupun pujukan kepada Umno agar MN diaktifkan semula tidak dilayan.

“PAS tidak peduli walaupun pujukan kepada Umno untuk aktifkan kembali MN dibalas tuba, umpama hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong apabila presiden Umno sendiri mengeluarkan kenyataan balas bahawa kerjasama MN yang PAS sampaikan hanya satu kerjasama politik dangkal. 

“Ini kerana PAS telah mengkhianati Umno dan sentiasa ‘main dalam beberapa kolam’. Namun demi survival politik, PAS relakan jua tindakan sebegitu.

“Mungkin faktor itu menjawab mengapa PAS memilih untuk memberi fokus kepada 27 kerusi yang berkemungkinan bertembung dengan Umno hingga ingin menamakannya sebagai ‘Kerusi Muafakat Nasional’,” jelasnya.

Malah ini secara tidak langsung telah membuka pekung sebenar sikap PAS yang mementingkan diri sendiri, dan tidak mustahil akan meninggalkan Bersatu terkontang-kanting, kata Salehuddin.

“Tidak mustahil PAS akan kembali berpelukan dengan Umno selepas PRU15 dan meninggalkan Bersatu.

“Meneliti kebarangkalian ini, saya ingin bertanya kepada  penyokong Bersatu yang ikhlas meninggalkan Umno kerana bencikan rasuah dan kebobrokan pentadbiran Umno-Barisan Nasional, adakah mereka merelakan negara ini diperkotak katikkan lagi dengan permainan Umno-PAS ini?” soalnya. – 3 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen