Pakar hak asasi manusia PBB boneka AS, kata Korea Utara 


Jurucakap Korea Utara berkata aktiviti pelapor itu adalah untuk menutup kempen fitnah Amerika terhadap negara berkenaan.– Gambar EPA, 2 September, 2022.

PYONGYANG menuduh pelapor khas PBB yang baru dilantik mengenai hak asasi manusia Korea Utara sebagai “boneka AS” dan membuat “kenyataan melulu yang tidak boleh dimaafkan” terhadap rejim itu.

Tuduhan itu dibuat ketika pelapor baharu, Elizabeth Salmon, melawat Seoul pada lawatan pertamanya sejak dilantik memegang jawatan itu bulan lalu.

Salmon, seorang profesor undang-undang antarabangsa Peru, telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pegawai Korea Selatan dan ahli kumpulan sivik untuk membincangkan situasi di Utara sejak tiba di negara itu  awal minggu ini.

“Kami telah menjelaskan pendirian berprinsip kami bahawa kami tidak mengiktiraf mahupun berurusan dengan mana-mana ‘pelapor khas’ yang hanyalah boneka AS”, kata jurucakap kementerian luar Korea Utara yang tidak dinamakan dalam satu kenyataan yang disiarkan KCNA.

Jurucakap itu berkata aktiviti pelapor itu adalah untuk menutup kempen fitnah Amerika terhadap Utara, menuduh Salmon berani membuat “kenyataan melulu yang tidak boleh dimaafkan yang menceroboh sistem kita yang tidak boleh dicabul dan hak kedaulatan”.

“PBB seharusnya tidak lagi membenarkan nama dan misinya disalahgunakan untuk dasar permusuhan AS terhadap DPRK,” tambah jurucakap itu, menggunakan akronim untuk nama rasmi Korea Utara.

PBB menubuhkan pelapor khas mengenai hak asasi manusia Korea Utara pada tahun 2004 apabila kebimbangan antarabangsa semakin meningkat terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi di negara itu.

Tiada seorang pun daripada utusan khas berkenaan diberikan akses masuk ke negara itu untuk misi mencari fakta. – AFP, 2 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen