Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun kerana tipu pilihan raya, kata sumber


Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman pnjara 3 tahun oleh mahkamah junta kerana penipuan pilihan raya semasa pilihan raya 2020. – Gambar EPA, 2 September, 2022.

MAHKAMAH junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi kerana penipuan pilihan raya semasa pilihan raya 2020 yang dimenangi partinya secara besar-besaran, kata sumber yang tahu mengenai kes itu pada Jumaat.

Suu Kyi “dihukum penjara tiga tahun dengan kerja berat”, kata sumber itu, sambil menambah bahawa pemenang Hadiah Nobel itu berada dalam keadaan sihat.

Ditahan sejak tahun lepas, Suu Kyi telah disabitkan dengan rasuah dan dakwaan lain oleh mahkamah tertutup junta dan dijatuhi hukuman penjara 17 tahun.

Tentera mendakwa penipuan pengundi berleluasa semasa pilihan raya November 2020, dimenangi oleh parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi, walaupun pemerhati antarabangsa berkata pilihan raya itu sebahagian besarnya bebas dan adil.

Tentera telah membatalkan keputusan itu dan berkata ia membongkar lebih daripada 11 juta contoh penipuan pengundi.

Dalam ucapan yang disiarkan bulan lalu, Min Aung Hlaing tidak menyebut tarikh pengundian baharu tetapi berkata ia hanya boleh diadakan apabila negara itu “damai dan stabil”.

Lebih 2,200 orang telah terbunuh dan lebih 15,000 ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap perbezaan pendapat sejak ia merampas kuasa, menurut kumpulan pemantau tempatan. – AFP, 2 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen