SEORANG lelaki ditahan di Argentina selepas mengacu senjata ke arah Naib Presiden Cristina Kirchner semalam, kata Menteri Keselamatan Anibal Fernandez.
Beberapa saluran televisyen menyiarkan rakaman seorang lelaki mengacu pistol ke arah kepala naib presiden dari jarak dekat ketika beliau sedang keluar dari kenderaan dinaikinya.
Fernandez berkata polis akan memulakan siasatan.
“Situasi sekarang sedang dikaji untuk mengesan cap jari individu terbabit,” katanya.
Tembakan tidak dilepaskan kerana lelaki terbabit berasak-asak dengan orang ramai yang mendekati Kirchner untuk mendapatkan autografnya. Tetapi dia menayangkan senjata itu di depan muka Kirchner.
Media tempatan melaporkan suspek seorang warga Brazil.
Parti pembangkang Together for Change mengutuk serangan itu.
Ratusan aktivis berhimpun di depan rumah Kirchner sejak beberapa hari lalu susulan dakwaan beliau memberikan kontrak kerja awam kepada kubu kuatnya di Patagonia.
Kirchner, 69, adalah presiden senat dan menikmati kekebalan parlimen.
Jika disabitkan – pertuduhan dijangka dibuat pada hujung tahun ini – beliau mungkin tidak akan dipenjarakan kecuali jika hukumannya diratifikasikan oleh Mahkamah Agung, atau beliau hilang kerusi senat pada pilihan raya akan datang. – AFP, 2 September, 2022.
Komen