PENGORBANAN bekas perdana menteri Najib Razak untuk parti tidak seharusnya berakhir dengan sia-sia dan oleh itu Umno serta Barisan Nasional (BN) perlu menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung Umno itu berkata kedua-dua parti itu harus meneruskan semangat berkobar-kobar Najib untuk menang besar pada pilihan raya akan datang.
“Solidariti itu antara lain ialah kita bersama dalam susah dan senang, bersama dalam ceria dan duka.
“Dalam isu terkini, kita berdukacita terhadap apa yang berlaku kepada bekas Presiden, bekas Perdana Menteri, penasihat BN Najib Razak.
“Kita berdukacita kerana pada pandangan kita, beliau tidak diberi proses keadilan yang sewajarnya. Oleh itu, semangat ‘Bossku’ perlu diteruskan dalam perjuangan Umno/BN. Jangan kita sia-siakan pengorbanan beliau masuk dalam penjara.
“Maka, sebagai kaedah untuk kita tidak mensia-siakan pengorbanan beliau, adalah penting untuk kita memastikan Umno/BN menang besar pada PRU ke-15,” kata Ahli Parlimen Pontian itu seperti dipetik dalam Umno Online.
Minggu lalu Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuannya dan mengekalkan hukumannya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Dalam keputusan sebulat suara mahkamah memerintahkan ahli Parlimen Pekan itu memulakan hukuman penjara 12 tahun serta-merta.
Najib juga perlu membayar denda RM210 juta jika gagal membayarnya, beliau perlu menjalani hukuman penjara lima tahun lagi.
Sementara itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengulangi bahawa PRU15 perlu diadakan sekarang kerana rakyat mahukan kerajaan yang sah yang tidak disatukan melalui skim politik.
Presiden Umno itu berkata ada keperluan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat. – 2 September, 2022.
Komen