Batal kelayakan tanding tertuduh kes rasuah, cadang Dewan Ulama PAS


Diyana Ibrahim

Dewan Ulama PAS mencadangkan pemimpin politik yang berdepan perbicaraan mahkamah wajar dibatalkan kelayakannya bertanding dalam pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2022.

Dewan Ulama PAS mencadangkan pemimpin politik yang berdepan perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah wajar dibatalkan kelayakannya bertanding dalam pilihan raya.

Ketuanya Ahmad Yahya berkata kerajaan harus mengetatkan syarat kelayakan bertanding pilihan raya bagi memastikan ahli politik yang didakwa di mahkamah dibicara segera.

“Hal yang demikian termasuklah mereka yang sedang dalam perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah, juga tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana kita bimbang mereka akan menggunakan kedudukan mereka untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

“Dalam aspek ini kita mengharapkan agar kes-kes melibatkan rasuah dan salah laku para pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif,” katanya berucap di Muktamar Dewan Ulama PAS di Guar Chempedak, Kedah hari ini.

Beliau juga mencadangkan sesiapa yang pernah mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara, serta mempertikaikan hak-hak keistimewaan dalam Perlembagaan Persekutuan turut digugurkam kelayakan bertanding.

Ahmad yang juga anggota Dewan Negara senator turut mempertikaikan syarat gugur kelayakan menjadi calon sedia ada, yang disifatkannya longgar dan perlu ditambah baik.

“Perkara ini kelihatan masih longgar tidak sejajar dengan ketegasan yang dipamerkan dalam pindaan Perlembagaan tersebut,” katanya.

Dalam ucapannya Ahmad juga menyentuh mengenai bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara selepas kekal sabitannya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Beliau memuji pendirian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tidak mencampuri urusan kehakiman negara.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan itu. 

Selaih itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berdepan 40 pertuduhan rasuah melibatkan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara 2014 hingga 2018.

Pada masa sama Ahmad turut mencadangkan kerajaan menggubal akta pendanaan politik.

Ini katanya bagi membanteras budaya politik wang dalam kalangan parti politik. – 2 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen