PAS tidak dapat mengelak daripada bertembung dengan Umno di Kedah biarpun ada pemimpin parti Islam itu mencadangkan satu kerjasama untuk mengelak persaingan yang boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) menang 27 kerusi Parlimen, kata pengarah pilihan rayanya Muhammad Sanusi Md Noor.
Sanusi, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata pertembungan dua parti Melayu itu tidak dapat dielak kerana Umno juga ingin bertanding sejumlah kerusi tertentu di negeri ini pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun katanya PAS akan berunding secara terpilih di kerusi tertentu di negeri itu dengan Umno bagi memastikan PH tidak menang kerana persaingan antara mereka.
“Saya rasa kalau tak dirundingkan sudah tentu dapat dekat PH… sayang pula. Jadi rundinglah selagi boleh. Saya sedia untuk runding, takut mereka (Umno) tak sedia.
“Kerusi tak cukup untuk semua orang. Mereka pun tak cukup tempat, macam mana mereka nak pakat dengan kita. Saya faham dilema itu, yang dihadapi mereka.
“Kalau ada ruang berunding di mana-mana elok kita runding,” katanya kepada wartawan selepas berucap di Muktamar Pemuda PAS, malam tadi.
Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS dan Umno perlu kembali menghidupkan wadah kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) kerana hubungan mereka sebenarnya tidak pernah putus.
Menurut Tuan Ibrahim, keputusan kerjasama PAS itu akan dimuktamadkan pada peringkat parti tidak lama lagi, dalam bulan ini juga.
Namun beliau juga menegaskan PAS akan menyertai PRU15 bersama PN, yang dibentuknya bersama dengan Bersatu dan dua parti di Sabah iaitu iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Sementara itu, Sanusi berharap PAS juga akan bertanding menggunakan lambang parti Islam itu di Kedah, dan bukannya logo PN.
Kedah, sama seperti Terengganu dan Kelantan, merasakan PAS ada peluang menang lebih tinggi jika menggunakan logonya sendiri, katanya.
“Sebelum ini alasan pengundi nak tengok PAS dalam rakan gabungan sebab kajian kata tak ada parti yang boleh bergerak solo. Jadi, kita buat keputusan dalam PN.
“Tapi bila duduk dalam PN orang (pengundi) alergi pula sebab logo sama dengan BN. Jadi kita perlu ambil tindakan untuk betulkan,” katanya.
Sanusi berharap isu logo untuk PRU15 dapat diputuskan pucuk pimpinan dan seterusnya dibawa dalam mesyuarat PN.
PAS sebelum ini mengumumkan semua negeri yang ditadbirnya – Kedah, Kelantan, dan Terengganu – tidak akan mengadakan pilihan raya negeri sebelum Mac 2023. – 2 September, 2022.
Komen